Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KPT, KPM akan kerjasama berhubung isu lambakan siswazah perguruan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
29 May 2023 11:23am
A
A
A

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mencari kaedah berhubung isu lambakan siswazah perguruan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama bersama KPM amat penting agar isu di bawah KPT itu dapat dikurangkan.

“Adalah sangat penting untuk kita tahu unjuran yang hanya boleh diberikan oleh KPM dan memanglah hasrat kita untuk bekerjasama lebih rapat dengan KPM supaya isu (lambakan graduan perguruan) ini boleh dikurangkan.

“Dengan ramainya yang ambil kursus perguruan kita perlu lihat bahawa keperluan perguruan bukan sahaja dibekalkan untuk sekolah kerajaan, ia boleh juga diletakkan di sekolah swasta dan jadi guru di luar negara,” kata beliau kepada pemberita selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar pada Ahad.

Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, beliau juga telah memaklumkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran guru bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Semalam, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang mendedahkan kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran KPM boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata KPT sedang merangka perubahan dalam menjadikan pengajian di institit pengajian tinggi (IPT) lebih menarik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara yang dirangka ialah sistem pendidikan secara anjal yang membolehkan pelajar belajar secara fizikal beberapa tahun dan selebihnya dilaksana secara dalam talian selain beberapa kursus sedang dikenal pasti untuk dipendekkan dari empat tahun kepada tiga tahun.

“Semua sedang diusahakan KPT antara universiti dan industri supaya pelajar (yang telah tamat pengajian) memenuhi keperluan industri dan boleh diambil bekerja.

“Kita juga akan melakukan beberapa perubahan untuk menjadikan belajar di universiti sangat menarik. Kita kenali beberapa program asasi TVET yang membolehkan pelajar masuk dengan kelulusan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya strategi kementerian untuk mewujudkan sinergi yang menarik di IPT susulan tarikan ekonomi gig kepada golongan muda dikhuatiri mengurangkan minat mereka terhadap pelajaran dan memasuki IPT.

-- BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok