“Laksana Program Dermasiswa B40 TVET khusus untuk pelajar B40” - Ismail Sabri
“Laksana Program Dermasiswa B40 TVET khusus untuk pelajar B40” - Ismail Sabri

“Laksana Program Dermasiswa B40 TVET khusus untuk pelajar B40” - Ismail Sabri

Roshlawaty Md Raieh
21 Jun 2022 12:20pm
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang tersebut.

Ia merangkumi pelajar B40 yang belajar di institusi pengajian tinggi awam seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tahun ini.

Pengumuman tersebut dibuat pada majlis perasmian Minggu TVET Negara 2022 yang berlangsung sejak 18 hingga 24 Jun ini di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Menurut Ismail Sabri, program berkenaan dilaksanakan sebagai langkah meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar yang memilih TVET sebagai bidang pengajian.

“Ia membabitkan seramai 1,000 pelajar bagi pengambilan pertama dan kerajaan menjangkakan program ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.

“Saya yakin, program ini dapat menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia terutamanya daripada kumpulan B40 untuk mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET, insya-ALLAH,” katanya pada majlis tersebut.

GAMBAR IHSAN BERNAMA

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.

Pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara yang wajar disambut setiap tahun sebagai menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET.

"Tarikh itu juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar, yang merupakan institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969," katanya.

Seterusnya, Perdana Menteri turut menyeru pihak industri supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka.

Saya percaya, langkah ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti mana negara maju yang lain," katanya.

GAMBAR IHSAN BERNAMA

Dalam majlis tersebut, Ismail Sabri turut melancarkan logo dan buku penjenaamaan TVET sebagai simbolik penjenamaan TVET negara.

Malah, beliau juga turut menyampaikan anugerah kepada wira TVET Negara yang terpilih dari 10 kementerian.

Pemilihan Wira TVET Negara ini berdasarkan sumbangan dan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing.

Mereka terdiri daripada Abdul Khalim Al Azizi Syahril dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP); Aminuddin Idris (Institut Kemahiran Belia Peretak); Mohd Hafiz Md Zahar (Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan); Mohd Izuwan Mat Rabi (Institut Kemahiran Mara Sungai Petani) dan Syed Muhammad Azizi Tuan Sembak (Pusat Latihan Teknologi Tinggi Shah Alam).

Turut diangkat sebagai Wira TVET Negara adalah Muhammad Al Ahnaf Mohd Roslan (Institut Pertanian Serdang); Nor Azhar Mohd Lazim (Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera); Sohpian Ariffin (Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur); Mohamed Khairul Fikrie Mohamed Noor (Institut Kraf Negara, Rawang) dan Nik Azfar Hafiy Nik Hassan (Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan Bangi).

GAMBAR IHSAN BERNAMA

INFO

  • Minggu TVET Negara 2022 (MTN2022) merupakan satu perencanaan promosi tahunan yang memberi peluang kepada masyarakat untuk mendampingi, menghayati dan menyokong agenda TVET negara.
  • Ia di terjemahkan melalui pelbagai aktiviti yang disusun khas selama seminggu.
  • MTN 2022 akan melibatkan kesemua penyedia TVET dari 11 kementerian, menggabung sumber dan tenaga dalam menjayakan acara tahunan ini.
  • Tema MTN 2022, ‘TVET Pilihan Keluarga Malaysia’ memposisikan TVET sebagai keutamaan masyarakat Malaysia serta menonjolkan bidang ini sebagai pilihan unggul ke alam pekerjaan.

Artikel berkaitan 

Peraturan sekolah yang perlu pelajar patuhi. Poin nombor 1 mohon beri perhatian! 

Cabaran pendidikan era pandemik, 3 guru diumum pemenang #CikguJuaraDigital 2022 

Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021 milik Yishal dari UMS 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok