Sijil SPM merekodkan pencapaian akademik pelajar yang boleh digunakan bagi menyambung pengajian peringkat pendidikan tinggi dan menceburi bidang pekerjaan.
Sijil SPM merekodkan pencapaian akademik pelajar yang boleh digunakan bagi menyambung pengajian peringkat pendidikan tinggi dan menceburi bidang pekerjaan.

Latar belakang peperiksaan SPM sebagai rujukan pelajar

ROSHLAWATY MD RAIEH
08 Jun 2023 12:10pm
A
A
A

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah peperiksaan awam yang utama dan ditadbir secara berpusat pada akhir pendidikan peringkat menengah bagi tujuan pensijilan.

Sijil SPM merekodkan pencapaian akademik pelajar yang boleh digunakan untuk menyambung pengajian pada peringkat pendidikan tinggi dan menceburi bidang pekerjaan.

Pada umumnya, peperiksaan SPM bertujuan untuk mengukur sejauh mana pencapaian akademik pelajar dalam pembelajaran yang telah dilaluinya selama 11 tahun bagi mendapat pengiktirafan menerusi penganugerahan sijil.

Mulai peperiksaan SPM tahun 2021, kesemua mata pelajaran yang diuji adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada 2017.

Tahun ini juga merupakan tahun kedua format baharu peperiksaan SPM diperkenalkan bagi 75 daripada keseluruhan 95 mata pelajaran yang ditawarkan.

Melalui format baharu ini, KPM turut melaporkan kemahiran lisan murid melalui Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Mata pelajaran Bahasa Inggeris juga dijajarkan kepada Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Penguasaan Bahasa Inggeris calon dilaporkan dalam dua bentuk pelaporan, iaitu dalam gred SPM dan berdasarkan tahap CEFR.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pendidikan (KPM) turut melaksanakan Ujian Amali Sains (UAS) sebagai salah satu daripada kertas peperiksaan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan sebagai menggantikan Ujian Amali Bertulis.

Pelaksanaan semula UAS secara peperiksaan pusat ini merupakan satu usaha KPM untuk mengukur penguasaan kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif calon selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025).

Pelaksanaan UAS secara peperiksaan pusat adalah juga sejajar dengan hasrat KPM bagi memperkasakan bidang STEM.

Semua perubahan ini mencerminkan usaha KPM untuk memastikan pelajar dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk mereka berjaya dalam persaingan memperoleh pendidikan yang lebih tinggi dan menempatkan diri dalam bidang kerjaya yang semakin mencabar ini.

Pengurusan dan pengendalian peperiksaan

Pada 2022, Malaysia telah memasuki fasa peralihan daripada pandemik ke endemik Covid-19 mulai 1 April 2022.

Dengan perubahan tersebut, pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam khususnya SPM 2022 telah kembali kepada prosedur operasi standard sedia ada yang telah diguna pakai sebelum pandemik.

Namun begitu, KPM tetap memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2022 mengutamakan keselamatan

dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan di samping memastikan pengurusan peperiksaan berjalan lancar dan tidak berlaku penularan wabak Covid-19 di pusat peperiksaan.

Calon yang tidak dapat hadir mana-mana kertas peperiksaan disebabkan positif Covid-19 atau terlibat dengan bencana banjir berpeluang menduduki kertas peperiksaan berkenaan sewaktu penjadualan semula peperiksaan.

Semua petugas peperiksaan telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam keadaan yang serba mencabar.

KPM amat menghargai dan berterima kasih atas komitmen dan pengorbanan yang diberikan oleh petugas peperiksaan dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Pelaksanaan sesi akademik 2022/2023 dalam fasa endemik ini telah memberikan ruang kepada calon untuk meningkatkan kesediaan bagi menghadapi peperiksaan dengan lebih baik.

Berbekalkan kekuatan mental, fizikal, emosi dan semangat juang yang tinggi serta sokongan daripada pelbagai pihak, calon peperiksaan SPM 2022 telah berjaya menduduki peperiksaan dengan sempurna.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok