
Lebih 100,000 murid Tahun 1 gagal kuasai 3M
Seramai 122,062 murid Tahun 1 dikenal pasti memerlukan intervensi berikutan gagal menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, hasil itu didapati menerusi Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi fasa satu yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Julai hingga September tahun lalu.
Menurutnya, jumlah tersebut mewakili sebanyak 27.42 peratus keseluruhan murid kelas berkenaan.
“Dapatan juga menunjukkan sebanyak 39.58 peratus atau 48,308 murid berjaya menguasai 3M, manakala baki 60.42 peratus atau 73,754 murid meneruskan fasa dua.
“Melalui intervensi dalam fasa dua yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024 malah diteruskan sehingga 31 Januari 2025, data menunjukkan bahawa 32.65 peratus atau 24,077 murid daripada baki tersebut telah berjaya menguasai asas 3M.
“Secara keseluruhan, 59.30 peratus atau 72,385 murid Tahun 1 yang dikenal pasti dalam Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi berjaya menguasai kemahiran asas 3M sepanjang 2024,” katanya dalam sesi di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Perikatan Nasional – Pokok Sena) yang ingin tahu cabaran utama yang dihadapi pihak sekolah dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan kemahiran asas 3M ketika ini memandangkan tahap literasi pelajar yang masih rendah memasuki Darjah Satu.