DSC_8986
DSC_8986

Sinar Bestari lancar kempen #GenerasiMahirBerilmu

Norliza Wasilan
06 Oct 2022 09:15pm
A
A
A

Sinar Bestari, Sinar Harian melancarkan kempen #GenerasiMahirBerilmu sebagai kesinambungan kejayaan penganjuran Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) yang melabuhkan tirainya semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, kempen yang akan bermula tahun depan itu akan membawa pendekatan turun padang ke sekolah.

Ujarnya, langkah itu diambil bagi membolehkan sesi berkongsi kemahiran dan pengetahuan dilakukan, sekali gus melahirkan generasi berilmu.

“Oleh kerana sambutan (ASSSB) amat menggalakkan dan kami sendiri pun tidak sangka, jadi tahun depan kita akan lebih agresif selepas mendapat sokongan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan rakan daripada Bank Rakyat.

“Saya berpandangan, kita akan ke sekolah dan tekankan aspek melahirkan generasi mahir, itu kita punya hashtag untuk tahun depan,” ujarnya selepas Majlis Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada Rabu.

Tetamu kenamaan bersama barisan pemenang ASSSB.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzah Hashim; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Hashim; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; Naib Presiden Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Nizam Abu Samah dan Presiden The Hope Factory Malaysia, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad.

Pada majlis berkenaan, lima sekolah diumumkan sebagai penerima anugerah membabitkan lima kategori.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara untuk kategori Sekolah Rendah Bandar, SK Chopin (Sekolah Rendah Luar Bandar), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki (Sekolah Menengah Bandar) dan SMK Saujana Utama (Sekolah Menengah Luar Bandar).

Masing-masing menerima hadiah RM10,000, trofi dan juga sijil penyertaan.

Manakala SK Pos Dipang yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas membawa pulang RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Farah Hussamuddin.

Mengulas kempen #GenerasiMahirBerilmu, ujar Farah, dengan adanya kebenaran daripada Kementerian Pendidikan maka usaha untuk mendekati sekolah menjadi lebih mudah.

“Sebelum ini kita ada kekangan tidak boleh turun ke sekolah disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika itu.

“Kini dengan adanya green light (lampu hijau) daripada KPM, kami berharap dapat turun padang dan buat roadshow sebelum anugerah ini tahun depan,” tambahnya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai ASSSB, ujar Farah, program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sinar Karangkraf sebagai sebuah badan korporat.

SK Dato' Wan Kemara diumumkan sebagai penerima Anugerah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) bagi kategori Sekolah Rendah - Bandar.

Tuturnya, penganjuran itu juga adalah sebagai mengiktiraf kejayaan, bakat, pencapaian serta potensi sekolah serta pelajar di negara ini sepanjang tahun 2021/2022.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada sekolah yang menghantar penyertaan amat menggalakkan.

“Ini menunjukkan walaupun ketika pandemik Covid-19 melanda negara ketika itu, namun, cabaran dan kekangan dihadapi ternyata tidak melemahkan semangat guru serta pelajar untuk terus meningkatkan kecemerlangan.

“Mereka ini juga membuktikan kekangan yang ada menjadi pendorong untuk mencipta lebih banyak kejayaan sehingga di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Farah juga berharap kejayaan yang dikecapi sekolah berkenaan akan menjadi inspirasi kepada sekolah lain untuk berjaya pada masa hadapan.

“Kami juga berharap agar anugerah ini menjadi pencetus semangat kepada warga sekolah dan pelajar untuk lebih berjaya dan melakar lebih banyak kejayaan selepas ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB

Bank Rakyat sedia bekerjasama untuk program ASSSB akan datang

Program #SchoolTourSPM bantu persediaan 160 pelajar duduki peperiksaan SPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok