HomeBuletinMohd Zahri dilantik Ketua Pengarah JPPKK baharu

Mohd Zahri dilantik Ketua Pengarah JPPKK baharu

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Dr Mohd Zahari Ismail sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Zainab Ahmad yang bersara wajib.

KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya, Mohd Zahari berkemampuan memacu JPPKK sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang unggul.

Penyerahan dokumen kepada Dr Mohd Zahari (kanan) yang dilakukan oleh Abdul Razak Jaafar (tengah) sambil disaksikan oleh Mohd Zabri Yusoff (kiri). Kredit foto: Facebook Kementerian Pengajian Tinggi

Mohd Zahari, 57, merupakan graduan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau seterusnya melanjutkan pengajian dalam Sijil Pendidikan daripada Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Sarjana Sains Pentadbiran Perniagaan.

Setelah itu, Mohd Zahari meneruskan pengajian di University Of Hull, United Kingdom dan berjaya memperoleh Doktor Falsafah Pengurusan (PhD).

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) sejak 13 Julai 2018.

Selain itu, beliau turut menyandang jawatan sebagai Pengarah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) bermula pada 16 Februari 2016 sehingga 12 Julai 2018.

Mohd Zahari juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Akademik di Politeknik Balik Pulau (PBU) mulai 16 Februari 2010 sehingga 15 Disember 2011.

Dalam pada itu, KPT merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zainab atas jasa bakti beliau menerajui JPPKK sebelum ini.

Artikel berkaitan

KPLB tambah baik silibus TVET, penuhi keperluan pasaran kerja menjelang 2025

Ubah stigma terhadap graduan politeknik, kolej komuniti

Peluang graduan politeknik ceburi kerjaya Tentera Darat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok