312449316_684582623296015_4572891112207808393_n
312449316_684582623296015_4572891112207808393_n

My #QuranTime 2.0 kini diperluas, usaha tarik minat golongan muda

Adlan Farhan Azwan
08 Dec 2022 04:40pm
A
A
A

My #QuranTime 2.0 (MQT) yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) akan dilancarkan di semua platform digital Yayasan WUI dan Kumpulan Media Karangkraf sebagai pendekatan untuk menarik lebih ramai penonton dalam golongan muda selain dewasa, serta yang setia atau baharu.

Sebanyak 2,111 episod akan mula bersiaran setiap hari pada 14 Disember ini, pukul 12 tengah hari hingga 1 petang di semua platform digital Quran Hour dan Sinar Harian.

Pembaharuan ini juga seiring dengan matlamat bagi mempertingkatkan kualiti solat melalui bacaan al-Quran bertajwid, memahami isi bacaan al-Quran melalui tadabbur tahap dua.

Selain itu, elemen baharu program juga diperkenalkan iaitu menambah hafalan Surah melalui kaedah hafalan al-Quran yang mudah dan praktikal dengan penggunaan kaedah Quran Al-Hafiz.

Ustaz Fazrul Ismail (kiri) sebagai pentadabbur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali (kanan) sebagai Qari. Kredit foto: Facebook My #QuranTime.

Sebelum ini, program MQT telah mencipta fenomena Baca, Faham, Amal al-Quran 1 jam setiap hari bermula tahun 2020 dan telah diterbitkan dengan kerjasama TV Al-Hijrah.

Kali ini, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas membuka peluang kepada semua stesen televisyen (TV) dalam dan luar negara untuk menayangkan MQT 2.0 agar program al-Quran ini menjadi solusi dalam membina kerangka fikir dan karakter ummah yang berpandukan al-Quran dan sunah.

Pengasas WUI, Datuk Hussamuddin Yaacob dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya sedang berunding dengan beberapa stesen TV agar program MQT yang diterbitkan dengan sebahagian hasil dana daripada sumbangan Tabung Gerakan Quran oleh orang ramai dapat membawa impak besar kepada proses membumikan al-Quran yang disasarkan pada tahun 1500 Hijrah untuk MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Hussamuddin Yaacob.

Menurutnya, program MQT ini dibina atas usaha Wakaf Konten di mana sumbangan dari individu, organisasi dan orang ramai digunakan sepenuhnya untuk tujuan melahirkan pelbagai kajian dan program digital dan TV untuk ummah.

“Program-program yang dilahirkan atas misi Wakaf Konten ini boleh dimasuki dengan mudah di platform digital Quran Hour agar menjadi bahan rujukan sepanjang zaman kepada orang ramai, sekolah, kelas pengajian dan organisasi.

“Usaha lebih giat yang bermula pada 2020 ini telah menjadi pusat khazanah al-Quran di mana kajian dan program al-Quran diletakkan secara dalam talian untuk rujukan semua yang turut dimanfaatkan siaran Quran TV di negara jiran seperti Indonesia.

“Insya-ALLAH dengan sinergi media untuk ummah di beberapa saluran TV, MQT bukan lagi ditayangkan secara eksklusif di saluran TV AlHijrah sahaja, malah program MQT ini akan menjadi langkah pendidikan jiwa dan karakter bagi banyak keluarga dan orang ramai melalui baca, faham, amal setiap halaman al-Quran sebanyak 3 bahagian setiap hari,” katanya.

Para Sahabah yang hadir ke Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam untuk menyertai Program My #QuranTime secara langsung. Kredit foto: Facebook My #QuranTime.

Pada musim pertama, sebanyak 838 episod telah disiarkan dengan mencatatkan 85 juta jumlah tontonan di skrin dan lebih 150 ribu sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.

Program ini akan mengekalkan peneraju, Ustaz Fazrul Ismail sebagai pentadabbur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali serta Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sebagai Qari yang akan turut mengisi slot ulangkaji.

Ia kini bersiap sedia untuk dilancarkan selepas melalui kajian konten dengan rujukan 18 Kitab Tafsir dan Kitab Hadith Bukhari Muslim, melakukan latih tubi program di makmal ujian studio My #QuranTime Plus dalam tempoh lebih dua bulan secara intensif agar isi al-Quran dapat disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami para pelayar dan penonton MQT.

Artikel berkaitan

Ustaz Kartun dedah rahsia faham surah al-Quran, melalui 3 teknik ‘kartungogi’

4 tip hafal al-Quran yang boleh guru dan pelajar amalkan

9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok