Pedofilia, tarikan seksual eksklusif terhadap kanak-kanak dan remaja
Perbuatan seorang guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tumpat, Kelantan yang didakwa melakukan pedofilia terhadap murid lelaki sememangnya tidak boleh dimaafkan!
Bagaimana dia (guru) tergamak untuk berbuat sedemikian sedangkan tugas dan tanggungjawab dia adalah mengajar atau mendidik murid menjadi insan berguna suatu hari nanti.
Mengulas tentang pedofilia, Sinar Bestari yakin tentu ada dalam kalangan kita belum didedahkan dengan maklumat terperinci mengenai maksud pedofilia.
Memetik perkongsian Pengerusi Malaysians Against Pornography (MAP), Dr Shamsuriani Md Jamal, pedofilia merujuk kepada kecelaruan seksual yang menyebabkan seseorang mempunyai tarikan seksual eksklusif terhadap kanak-kanak.
Lazimnya ia terdiri daripada lelaki dewasa yang tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak lelaki atau perempuan 13 tahun ke bawah dan remaja 13 hingga 15 tahun.
Terdapat enam gejala pedofilia iaitu
1) Mendapat rangsangan seksual apabila melihat kanak-kanak tidak berbaju
2) Berfantasi dengan gambar, video atau laman web lucah kanak-kanak
3) Bertindak atas dorongan fantasi dengan melakukan perbuatan seks
4) Melakukan penderaan seksual dan jenayah rogol yang boleh menyebabkan kematian
5) Terpengaruh dengan pengalaman dicabul, diliwat atau didera secara seksual semasa kecil
6) Gemar menyimpan bahan lucah kanak-kanak
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di laman Facebook pula memaklumkan, pedofilia adalah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.
Tulis mereka, semua pihak perlu mengembleng tenaga dan merancang strategi efektif untuk menyelesaikan isu pedofilia.
“Antaranya, ibu bapa dinasihatkan tidak memuat naik atau terlalu mendedahkan gambar anak di laman sosial, terutama dalam keadaan tidak sempurna termasuk dari segi berpakaian bagi mengelak terdedah kepada pedofilia," ujarnya.
Terdahulu, polis Kelantan telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan itu dibuat oleh pelajar terbabit dan pihaknya akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi.
"Kami (polis) telah melihat segala kandungan di dalam telefon pihak yang terlibat seperti perbualan telefon dan aplikasi WhatsApp dan merasakan ada keperluan untuk siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
"Polis akan melihat apakah kebenaran dalam apa yang dinyatakan supaya siasatan secara adil dan telus dapat dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Iftar Ramadan Perdana sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada Ahad.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, satu pasukan dari ibu pejabat MARA sudah ditubuhkan bagi meneruskan siasatan, termasuk akan mengunjungi MRSM Tumpat dalam tempoh terdekat.
"Saya sudah mengarahkan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu, perlu dijalankan segera.
"Sementara itu, guru berkenaan sudah digantung tugas sehingga siasatan selesai," katanya dalam catatan di X.