
Pelajar kita jadi imam tarawih di luar negara
Apabila tiba bulan Ramadan, ramai dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mendapat peluang untuk menjadi imam di luar negara.
Fenomena ini semakin berkembang, dengan pelajar dari universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dihantar ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Eropah dan Timur Tengah.
Perkembangan ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan tinggi pelajar dalam bidang al-Quran dan fiqh, tetapi juga mencerminkan pengiktirafan global terhadap kebolehan mereka.
Terbaharu, beberapa pelajar kita menjadi pilihan negara luar bagi menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai imam tarawih.
Muhammad Hanif Zakaria iaitu pelajar Tahun Tiga Sarjana Muda Pengajian Qiraat, USIM dilantik sebagai imam tarawih di Masjid At-Tawheed, Papatoetoe, Auckland, New Zealand sepanjang Ramadan 2025.
Dalam masa sama, beliau ditugaskan menjadi imam bagi solat lima waktu dan mengajar mengaji al-Quran kepada kanak-kanak komuniti Islam di kawasan tersebut.

Menurut Muhammad Hanif, terpilih menjadi imam di New Zealand adalah satu kejutan besar buat dirinya. Katanya, ini adalah peluang keemasan yang hanya datang sekali seumur hidup. Dirinya mahu menjadi perintis sekali gus berharap lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat dan berkongsi pengalaman mereka dengan masyarakat di sana.
Seterusnya, empat pelajar UPSI iaitu Muhammad Badrul Amin Derome, Muhammad Fathmi Izwan Rusli, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan turut menjadi imam tarawih di United Kingdom, Australia dan Singapura.
Merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, kejayaan mereka secara tidak langsung telah membanggakan universiti dan Malaysia.
Sejujurnya, pengiktirafan yang diberikan negara luar kepada pelajar Malaysia begitu mengagumkan penulis.

Inilah masanya untuk mereka menonjolkan bakat dan kebolehan serta keistimewaan yang ada sebagai imam di negara orang.
Selain menyampaikan ilmu Islam kepada komuniti Muslim di sana, mereka juga dapat melatih dalam kepimpinan dan komunikasi dengan jemaah.
Seperkara lagi, anak-anak muda ini akan mendapat pelbagai kelebihan selepas tamat pengajian melalui penglibatan mereka sebagai imam.
Misalnya kelebihan daripada aspek pengalaman, pembangunan diri dan sumbangan kepada masyarakat Islam.
Dari sisi universiti pula, banyak impak positif yang dapat dilihat menerusi pemilihan pelajar mereka sebagai imam tarawih.
Ia dapat meningkatkan reputasi universiti di peringkat global, diiktiraf sebagai pusat pendidikan Islam berkualiti, memperluaskan jaringan hubungan dengan pusat Islam di luar negara dan banyak lagi.

Dalam menyaksikan pelbagai kebaikan menerusi penghantaran pelajar ke luar negara, harus diingatkan bahawa cabaran di sana bukan ‘biasa-biasa’.
Banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh imam muda Malaysia sepanjang bertugas ketika Ramadan.
Pelajar perlu menyesuaikan diri dengan budaya berbeza dan keadaan cuaca yang mungkin ekstrem.
Selain itu, tanggungjawab mengimamkan solat tarawih dan memberikan tazkirah boleh menjadi tekanan bagi pelajar yang kurang pengalaman.
Pengurusan masa yang tidak teratur juga boleh menjadi cabaran besar sekiranya pelajar menggalas banyak tugas seperti menjadi imam tarawih, mengajar agama, memimpin solat, menyiapkan tugasan akademik dan sebagainya.

Bagaimanapun, penulis berpandangan, cabaran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan selagi kita masih hidup.
Ia sentiasa ada cuma membezakannya adalah bagaimana seseorang itu menghadapi cabaran tersebut dengan sabar, bijak dan semangat untuk terus maju.