kpm-sekolah-kondusif
kpm-sekolah-kondusif

Pembinaan sekolah baharu ambil kira aspek reka bentuk kondusif - Radzi

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
12 Sep 2022 06:09pm

Bangunan serta persekitaran sekolah yang kondusif memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dan para guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lancar dan berkesan.

Ini kerana, sekolah yang kondusif untuk pelajar dan para gurunya akan menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan kokurikulum sesebuah sekolah itu.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil kira aspek reka bentuk yang kondusif, mudah diselenggara dan memberi impak yang optimum kepada pelajar dan guru bagi pembinaan sekolah baharu.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, pihaknya mahu sekolah-sekolah baharu yang bakal dibina memberi fokus kepada perkara berkaitan infrastruktur asas namun memberi impak besar kepada warganya serta dalam masa yang sama memastikan setiap sen dalam peruntukan yang diberikan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya.

"Apa yang paling penting reka bentuk ini tidak perlu terlalu banyak kosmetik yang berlebihan kerana kita mahu setiap peruntukan digunakan untuk beri impak paling optimum.

“Sekiranya kita dapat kurangkan kos-kos kosmetik yang tidak diperlukan, maka peruntukan yang ada dapat kita gunakan untuk pembangunan lain," katanya ketika menghadiri Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, ia termasuk isu reka bentuk tandas sekolah yang sering dibangkitkan kerana kemudahan sedia ada berkonsepkan tandas basah dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik menyebabkan ada antara pelajar yang elak untuk makan di sekolah supaya tidak perlu ke tandas sepanjang sesi persekolahan.

"Dalam konteks pembangunan baharu ini, apabila kita bercakap soal transformasi, kita juga melihat reka bentuk tandas itu sendiri supaya ada pengudaraan dan lebih cepat kering serta tidak berbau," jelas beliau.

Mohd Radzi berkata, KPM akan sentiasa berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menentukan reka bentuk bukan sahaja sekolah-sekolah baharu yang bakal dibina tetapi juga bangunan-bangunan baharu yang akan dibina di sekolah sedia ada.

"Kita turun ke bawah, kita kumpul maklumat dan kita bincang di peringkat kementerian terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian pelaksanaan dan kemudian kita bincang dengan JKR berkaitan dengan reka bentuk untuk projek-projek yang akan dilaksanakan," ujarnya.

Artikel berkaitan

Persekitaran kondusif sumbang ke arah kecemerlangan SK Kuala Jenderis

Wujudkan persekitaran sekolah selamat, semua pihak perlu mainkan peranan

“Saya sanggup tolong datang mengecat cikgu, demi murid-murid sekolah kita walaupun tiada upah cikgu. - Ngatiman


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp