Peruntukan RM2.59 bilion kepada projek pembinaan sekolah daif di Sarawak
Sebanyak RM2.59 bilion peruntukan diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk 375 projek pembinaan semula bangunan sekolah daif berskala enam dan tujuh di Sarawak dari tahun 2016 hingga 2023.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, sehingga 26 Oktober 2023 sebanyak 235 projek telah siap dan 43 projek di peringkat pembinaan manakala 97 projek di peringkat prabina.
“Selain daripada itu, KPM turut menyediakan peruntukan penyelenggaraan bagi institusi pendidikan di Sarawak.
“Manakala sehingga 26 Oktober 2023, KPM telah menyalurkan sebanyak RM143.32 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
“Ia adalah bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan yang merangkumi penyelenggaraan struktur dan bukan struktur bangunan, pembaikan bumbung, pendawaian elektrik, sistem kumbahan, pagar, longkang dan lain-lain penyelenggaraan kecil,” ujar beliau.
Hui Ying berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya status projek pemulihan dan naik taraf sekolah daif di Sarawak.