Seramai 20,000 penerima bakal menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah menerusi program Back To School. Gambar kecil: Mohamad.
Seramai 20,000 penerima bakal menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah menerusi program Back To School. Gambar kecil: Mohamad.

Peruntukan RM3 juta program Back To School

01 Mar 2024 10:44am
A
A
A

Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukan RM3 juta menerusi program ‘Back To School’ untuk diagihkan kepada 20,000 penerima yang terdiri daripada murid sekolah di negeri itu bagi bantuan awal keperluan persekolahan, Ahad ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, setiap murid dari golongan asnaf akan menerima pakaian seragam sekolah untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga mereka.

"Dengan tekad usaha membantu golongan asnaf, kerajaan negeri melalui ZPP akan menganjurkan program 'Back To School' dan Nur Ramadan, ia adalah sebahagian program membantu golongan asnaf di Pulau Pinang.

"Program Nur Ramadan berupa sumbangan hamper E-tunai melibatkan seramai 15,654 asnaf membabitkan sumbangan RM1.56 juta sebagai persiapan menyambut Ramadan.

“Mereka boleh menebus barangan dapur bernilai RM100 di kedai atau pasaraya terpilih hanya menggunakan kad pengenalan tanpa tunai," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, agihan zakat bagi skim pakaian seragam dan hamper Nur Ramadan diperuntukkan kepada kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), melalui Pusat Khidmat KADUN kerajaan, penyelaras KADUN, Ahli Majlis MAINPP dan Ahli Lembaga Pengarah ZPP serta pihak sekolah.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP berkata, semua permohonan dibuat secara dalam talian dan sebagai makluman, segala keputusan berhubung agihan zakat melibatkan amaun yang besar diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah ZPP.

Katanya, sebagai agensi di bawah MAINPP, pengurusan profesional ZPP sentiasa memastikan tiada pihak akan terpinggir dalam agihan zakat bagi skim ini dan skim-skim yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, tohmahan Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff pada sidang media sebelum ini, bahawa pihak ZPP menafikan hak asnaf di kawasan pembangkang dengan mengaitkan ia adalah arahan daripada saya, bukan sahaja berniat jahat, bahkan bersifat fitnah," katanya. - Bernama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok