kelly-sikkema-xN0INdwHAs4-unsplash
kelly-sikkema-xN0INdwHAs4-unsplash

SBP di Gombak rekod satu kes kluster ILI, ini fakta yang anda perlu tahu

Adlan Farhan Azwan
22 Jun 2022 12:33pm
A
A
A

Sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di daerah Gombak, Selangor, baru-baru ini telah merekodkan satu kes kluster Influenza-Like Illness (ILI).

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, kluster tersebut dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak menerima notifikasi kes pertama dari fasiliti kesihatan swasta mengenai kejadian seorang pelajar yang didapati positif Influenza A.

“Siasatan mendapati secara keseluruhan, terdapat sejumlah 226 orang pelajar mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema, dan sakit tekak.

“Enam orang pelajar telah disahkan positif jangkitan Influenza A dengan kadar serangan jangkitan 32.7 peratus.

“Sehingga kini, hanya seorang pelajar positif Influenza A dimasukkan ke pusat perubatan swasta untuk pemerhatian dan berada dalam keadaan stabil, manakala pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, antara langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang telah diambil oleh PKD termasuk bekerjasama dengan pihak pentadbiran sekolah bagi menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti pengesanan dan pengasingan kes serta perawatan awal di sekolah.

Tanpa langkah pencegahan awal, penyakit berjangkit bermusim seperti ILI boleh membawa impak negatif terhadap sistem pendidikan negara.

ILI merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan.

Demam selesema amat mudah berjangkit dan ia menyebabkan penularan boleh berlaku di tempat-tempat yang padat terutamanya di sekolah dan asrama.

Sehubungan itu, pelajar yang dijangkiti di asrama sekolah perlu diasingkan daripada mereka yang sihat supaya ia tidak menular secara meluas.

Pelajar serta pekerja yang tidak sihat juga tidak digalakkan hadir ke sekolah.

Kebanyakan kluster ILI yang dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan virus influenza bermusim antaranya meliputi Influenza A (H1N1), Influenza A (H3N2) ataupun Influenza B.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis.

Khusus di sekolah, para pelajar yang dijangkiti di asrama perlu diasingkan dengan kadar segera supaya penularan dapat dielakkan.

Sumber: Portal Ketua Pengarah Kesihatan

Artikel berkaitan

Kes makin membimbangkan, 2 pakar kesihatan universiti tampil dengan tip penting cegah HFMD dengan bijak

Cegah sebelum parah! Guru, ibu bapa dan murid mohon peka situasi HFMD yang semakin meningkat

Isu murid makan atas lantai, ini pengajaran yang boleh dipelajari


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok