Anwar turut menyeru warga pendidik dan ibu bapa agar menekankan budaya membaca dari peringkat awal lagi.
Anwar turut menyeru warga pendidik dan ibu bapa agar menekankan budaya membaca dari peringkat awal lagi.

Selamatkan negara dengan ilmu dan budaya membaca - Perdana Menteri

27 May 2023 08:51pm
A
A
A

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak-anak muda agar bangkit menyelamatkan Malaysia dengan ilmu, kesedaran dan semangat melalui budaya membaca.

Beliau berkata, Malaysia Madani tidak mungkin dapat diangkat tanpa akhlak, nilai dan kesediaan anak-anak muda untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan yang meluas.

Anwar yang menganggap usaha membudayakan membaca sebagai cabaran besar kepada negara berkata, kebangkitan anak muda perlu bermula dengan kekuatan ilmu.

“Sementara ada media sosial, saya tidak boleh pertikai kepentingannya, percayalah kalau mahu menjadi manusia dan insan yang menyebut karamah insaniah, manusia yang ada nilai, akhlak dan ilmu, mesti mulakan tradisi membaca dengan serius.

“Saya hendak gesa secara serius, negara ini harus diangkat menjadi negara Madani yang ada ilmu, yang ada nilai, yang ada ihsan, ada rahmah. Semua itu boleh dipupuk melalui semangat membaca dan menimba ilmu,” katanya ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Perdana Menteri turut menyeru warga pendidik dan ibu bapa agar menekankan budaya membaca dari peringkat awal kerana minat membaca sudah meluntur dengan kewujudan media sosial.

Beliau turut berkongsi pengalaman dan kehadiran dua tokoh ulama besar dunia Islam ke Malaysia pada Jumaat iaitu bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafidz.

Anwar berkata, berbekalkan ilmu yang dimiliki kedua-dua tokoh ulama itu, pendekatan mereka lebih hikmah dan bijak kerana agama diterapkan dengan ilmu, kasih sayang, toleransi dan hormat-menghormati.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi bagi yang dangkal ilmu, yang ilmunya sejengkal, ilmu itu disebarkan dengan menghukum, tanam kebencian, menghina orang, mencerca atas nama agama kerana kefahamannya cetek dan dangkal.

“Ucapan saya hari ini adalah ucapan merayu, memujuk, menyeru, mendesak dan mengasak pemikiran anak-anak muda supaya tukar sikap kita dan mulakan satu budaya, budaya baca yang bersungguh-sungguh dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak agar memanfaatkan kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selain bahasa kebangsaan bagi memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok