Untitled design (1)
Untitled design (1)

Semoga impian Mirza Emisha mahu muncul juara tercapai. Doakan!

Roshlawaty Md Raieh
01 Sep 2022 05:44pm
A
A
A

Luar biasa!

Itulah perumpamaan yang dapat diberikan kepada pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Harun, Tanjung Karang, Selangor, Mirza Emisha Adinna Rozaimi.

Dia yang baru setahun jagung aktif dalam sukan silat olahraga ini telah berjaya meraih beberapa kejayaan.

Antaranya, Juara Peringkat Daerah 2022 di Sekolah Kebangsaan Asam Jawa Kuala Selangor - Kelas D dan Juara Peringkat Negeri 2022 di Universiti Putra Malaysia Serdang - Kelas D dalam silat olahraga.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, Mirza Emisha berkata, penglibatannya dalam silat olahraga sememangnya tidak dirancang.

“Satu hari, Cikgu Raja Anizam Putri Raja Izham memilih saya untuk menyertai silat olahraga ini. Katanya, saya ada bakat dalam seni silat, cuma perlu dicungkil dengan lebih mendalam lagi.

“Sepanjang menjalani latihan, saya akui memang banyak cabaran dan dugaan. Bagaimanapun, saya berazam akan melakukan yang terbaik sehingga dapat mengharumkan nama sekolah dan keluarga,” katanya.

Bakal mewakili Selangor dalam Kejohanan Silat Olahraga Peringkat Kebangsaan Oktober ini, Mirza Emisha berkata, dia kini gigih mengikuti latihan sebagai persediaan untuk kejohanan terbabit.

“Impian saya cukup besar iaitu mahu muncul juara dalam kejohanan tersebut. Mohon doakan ya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga adik beradik.

Sementara itu, Pengetua, Kamarularipin Jaffar berkata, Mirza Emisha merupakan pesilat baru yang wajar dijadikan contoh oleh semua pelajar.

“Walaupun baru setahun dalam silat olahraga, tapi dia sudah mencipta banyak kejayaan.

“Sebagai pengetua, sudah tentulah saya bangga dengan bakat dan potensi yang ada pada pelajar ini. Semoga dia terus berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburi kelak,” jelasnya.

INFO

Nama: Mirza Emisha Adinna Rozaimi

Umur: 14 tahun

Asal: Tanjong Karang, Selangor

Cita-cita: Pegawai Polis

Pencapaian dalam sukan

Sekolah Rendah

- Mewakili Pasukan Bola Baling Daerah Kuala Selangor

- Pelari 100 dan 200 meter Daerah Kuala Selangor

Sekolah Menengah

- Pemain Bola Baling Sekolah

- Pemain Bola Jaring Sekolah

- Pelari pecut 100 meter sekolah

Artikel berkaitan 

Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!

Fenomena filem Mat Kilau bangkitkan semangat murid SK Tangkungon kembali aktif bersilat

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok