Abdul Razak
Abdul Razak

Terap konsep jadi pelajar seumur hidup - Abdul Razak

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Aug 2023 06:01pm

Walaupun telah menamatkan pengajian, siswazah lepasan diploma dan ijazah di institut pengajian tinggi (IPT) disaran menerapkan konsep menjadi pelajar seumur hidup dan berusaha beradaptasi dengan perkembangan dalam industri.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, mereka (siswazah) perlu menetapkan komitmen untuk menjadi pelajar seumur hidup dengan membaca buku, menghadiri seminar dan menyertai kursus yang berkaitan dengan perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.

Katanya, pemahaman yang mendalam akan memperkukuh reputasi profesional lepasan IPT dengan mencari peluang pembelajaran dan pertumbuhan intelektual.

“Jangan takut mencari peluang baharu untuk memperluas pengalaman dan pengetahuan anda.

“Sekiranya berkesempatan menyertai projek-projek menarik, bekerja di luar negara atau belajar di institusi terkemuka, ambillah peluang tersebut dengan tangan terbuka.

“Jaringan profesional yang kuat dapat memberi peluang kerjasama, ‘mentorship’ dan informasi penting sekali gus membuka peluang kerjaya yang lebih luas kepada siswazah terbabit,” jelas Abdul Razak ketika berucap dalam Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-51 di Ipoh, Perak pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail serta Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah.

Konvokesyen PUO ke-51 menyaksikan seramai 2,062 graduan telah diraikan sepanjang lima hari konvokesyen berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,981 merupakan graduan peringkat diploma manakala 81 lagi adalah penerima peringkat ijazah sarjana muda.

Menerusi konvokesyen itu juga sebanyak lima anugerah khas telah disampaikan kepada kumpulan graduan cemerlang iaitu Anugerah Ungku Omar; Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum; Anugerah Projek Terbaik (Penyelidikan dan Inovasi); Anugerah Khas Industri dan Anugerah Ikon Keusahawanan.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, KPT mengiktiraf pentingnya pengalaman praktikal dan kerja lapangan dalam melengkapkan graduan dengan kemahiran praktikal serta pengetahuan industri yang relevan.

Oleh itu, beritahunya, pelaksanaan program praktikal yang berkualiti, relevan, spesifik dan bermakna di industri menjadi fokus utama KPT selain memperkukuh kolaborasi antara IPT.

Sambung beliau, KPT turut mendorong kolaborasi antara IPT untuk berkongsi sumber, kepakaran dan pengalaman dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.

Malah, KPT juga menyediakan kursus pemantapan kemahiran bagi graduan dan pekerja profesional untuk mengasah kemahiran praktikal serta teknikal yang relevan dengan pasaran kerja.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp