Guru besar sk santan
Guru besar sk santan

Bermodalkan RM500, guru besar cetus idea majlis graduasi luar biasa

Rasyidah Zulkifi
13 Mar 2022 01:30pm
A
A
A

Untuk mengadakan majlis konvokesyen yang meriah di peringkat sekolah, tidak perlukan modal yang besar, cukup dengan sedikit kreativiti dan kelainan, pastinya majlis itu akan terus dikenang dan dihargai.

Inilah yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Santan di daerah Kangar, Perlis.

Menurut guru besarnya, Syagul Yuhanis Mohd Yusof, 42, pelaksanaan Majlis Graduasi Apresiasi Tahun Enam di sekolahnya baru-baru ini mendapat sambutan yang luar biasa.

Walaupun baru 8 bulan berkhidmat di SK Santan, guru besar ini berjaya menawan hati murid-murid Tahun Enam.

Acara tersebut diadakan bagi menghargai murid-murid tahun akhir yang bakal menamatkan pelajaran di peringkat sekolah rendah.

“Sebelum ini, SK Santan mengadakan majlis graduasi di hotel yang memakan belanja begitu tinggi, beribu-ribu ringgit.

Baca juga

Hari Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan RISE tingkat motivasi para pelajar

Bulan Sabit Merah Malaysia agih coklat untuk sekolah terpilih hingga buat murid-murid ceria dan gembira!

“Namun, disebabkan oleh Covid-19 dan SOP, kami memikirkan kaedah baharu yang lebih selamat tetapi menarik iaitu dengan mengadakan majlis graduasi hanya di sekolah.

“Bajet untuk menjalankan majlis ini hanya RM500 sahaja iaitu kos bagi membeli hadiah-hadiah murid dan ‘banner’ untuk dipaparkan di belakang pentas, itu sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Menariknya, jika sebelum ini tidak ramai pelajar yang tidak dapat hadir kerana hotel terletak jauh dari rumah masing-masing, namun majlis graduasi yang diadakan di sekolah berjaya mencatat hampir 97 peratus kedatangan murid Tahun Enam walaupun mereka berdepan bermacam-macam dugaan.

“Selama enam tahun murid-murid berada di SK Santan, mereka tidak pernah tengok majlis sebegitu ceria dan meriah.

“60 orang hadir termasuk murid patah kaki yang bertongkat dan tangan patah, sementara dua orang lagi tidak dapat hadir kerana positif Covid-19,” katanya.

Ilham daripada filem

Sememangnya idea guru besar ini mengadakan majlis konvokesyen tersebut di sekolah sangat bernas.

Menurutnya, dia mendapat ilham daripada filem. Filem memainkan peranan dalam mempengaruhinya membawa apa yang ditonton menjadi kenyataan.

Dana sederhana boleh mewujudkan majlis luar biasa.

“Dari segi hiasan payung itu memang saya letak di kawasan lapang bagi menceriakan suasana sekolah. Bukan semata-mata untuk majlis tersebut.

“Jadi, kita guna dua dalam satu, majlis dan untuk keceriaan sekolah,” katanya.

Penataan hiasan majlis graduasi itu dilihat sangat ceria kerana elemen warna-warni yang diterapkan.

Tambahnya, kakitangan sekolah tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan payung terapung bagi menghiasi tapak perhimpunan SK Santan.

Payung terapung menjadi tarikan warga sekolah dan turut menceriakan istiadat konvokesyen.

“Hanya satu jam sahaja bagi memasang payung ini dengan bantuan tiga orang pekerja swasta.

“Saya tidak melibatkan cikgu-cikgu untuk pasang payung ini sebab mereka banyak kerja lain yang perlu diuruskan.

Murid-murid tahun akhir menerima penghargaan sebelum masuk sekolah menengah.

“Tiada penglibatan daripada pihak luar untuk membantu dalam dekorasi kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melarang masuk ke dalam premis sekolah,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok 

Bagi membuatkan payung berwarna-warni itu seolah-olah terapung, bahan seperti dawai halus dan dawai kasar digunakan untuk menarik payung supaya cekang dan terletak cantik.

Sepanjang program berlangsung, majlis berlangsung dengan lancar.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok