Untitled design
Untitled design

Nota tulisan tangan untuk murid dan ini adalah pemberian yang tidak pernah dipersoalkan balik

Roshlawaty Md Raieh
17 Feb 2022 10:06am
A
A
A

Seorang guru sanggup melakukan apa sahaja demi menyampaikan ilmu kepada anak-anak didiknya.

Begitu jugalah dengan guru-guru terdahulu. Mereka ada cara dan gaya tersendiri dalam menyalurkan segala pengetahuan untuk manfaat bersama.

Perkongsian Guru Cemerlang, Aminah Mat Yusoff menerusi laman Facebooknya mengenai amalan guru terdahulu, membuatkan ramai dalam kalangan kita sebak.

Ini kerana, enam amalan yang dikongsikan beliau cukup membuatkan kita semua ‘tabik’ pada cikgu zaman dulu.

Mari ikuti catatan penuh makna Ustazah Aminah untuk para pembaca.

Baca juga

Rezeki terpilih jadi cikgu, Azhari bersemangat nak mula mengajar

Pupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak

*****

Amalan seorang guru, kesannya subhanallah

Saya kongsikan amalan terbaik daripada guru-guru terdahulu yang akan sentiasa dikenang anak didik.

1) Mendoakan murid sebelum memulakan pengajaran. Amalan ini sangat memberi kesan dan menyentuh hati. Suasana pembelajaran terasa tenang dan tidak ada perlakuan negatif daripada murid. Doa yang biasa guru saya baca ialah ayat 40 daripada surah Ibrahim. Kelebihan ayat ini ialah melembutkan hati yang degil, membantu memperbaiki akhlak, menjadikan murid taat serta mudah mengikut arahan guru.

2) Berinfak kepada murid dan sekolah walaupun bukan orang kaya. Kelebihan ini yang sukar dicari ganti. Gaji guru tidaklah mewah, kebanyakannya hanya mampu pakai motor sahaja, tapi sanggup buat tuisyen percuma pada waktu malam dan hujung minggu. Mengajar muridnya berpada-pada dengan keperluan dan belanja tapi sentiasa tamak dalam menuntut ilmu. Kelas tidaklah cantik seperti sekarang namun wajah mereka yang tenang dan menyejukkan hati sudah cukup untuk menarik minat murid ke sekolah.

3) Jarang sekali meninggalkan kelas. Guru pada masa dahulu jarang terlibat dengan aktiviti luar atau komitmen lain, kerja mereka hanyalah mengajar. Tidak pernah rasa kecewa setiap kali ke sekolah kerana guru sentiasa ada untuk mengisi jadual mereka. Jika ada urusan penting, guru-guru ini akan gantikan masa berkenaan dengan kelas persendirian di rumah mereka. Sungguh manis kenangan ini.

4) Sama-sama merewang rumah murid jika ada kenduri. Seperti satu keluarga, tidak ada tembok yang menghalang hubungan seorang guru dan keluarga murid. Faktor utama ialah akad antara ibu bapa dan guru yang berlaku setiap kali sesi baru persekolahan. “Saya serahkan anak saya untuk cikgu didik, kalau nakal, malas, degil dan melawan cikgu hukumlah anak saya, saya percaya pada cikgu.” Selesai sahaja ucapan itu ibu bapa tidak pernah persoalkan guru jika anak mereka dihukum, malah anak-anak akan sembunyikan daripada pengetahuan ibu bapa mereka kerana takut dimarahi dan dihukum sekali lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

5) Nota tulisan tangan untuk anak didik. Sangat banyak infak yang murid terima pada masa itu. Guru bersengkang mata menyediakan nota untuk murid, kemudian diperbanyakan. Pemberian ini dikira sebagai jariah yang tidak pernah dipersoalkan balik. Saya simpan nota-nota ini untuk kegunaan empat orang adik di bawah saya, bagi saya ia sangat bernilai kerana berkatnya air tangan seorang guru yang sentiasa ikhlas.

6) Sentiasa dalam keadaan berwuduk. Masih terbayang-bayang wajah guru-guru yang bersih dan jernih. Bila pandang wajah guru hati terasa sejuk dan tenang, sangat mudah untuk saya mengingati ilmu yang diajar. Sehingga kini ada sesetengah pengajaran guru yang masih saya ingat, ia sangat kuat melekat dalam memori bahkan saya mampu kongsikan pula kepada orang ramai.

Masih terbayang-bayang di benak fikiran wajah guru ketika di Sekolah Al-Khairiah Banggol Stol, Sekolah Kebangsaan Menengah Arabiah Pasir Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Guru-guru ini adalah suri teladan bagi saya, akhlak mereka baik-baik, sangat sopan tutur bicara apabila berhadapan dengan murid.

Tidak pernah saya mendengar kalimah cercaan ataupun maki hamun. Sungguh terkesan ilmu mereka, keberkatannya jelas terbukti.

Ya Allah

Ampunilah dosa guru-guru kami.

Sediakanlah mahligai sebaik-baiknya untuk mereka.

Jadikanlah setiap ilmu yang mereka titipkan buat kami sebagai jariah yang berkekalan biarpun jasad mereka telah disemadikan.

Ya Allah

Kerana Guru kami kenalMu,

Kerana Guru kami cinta RasulMU,

Kerana Guru kami jadi orang yang berilmu dan mendalami agamaMu,

Ya Allah

Sayanglah guru kami

Kasihanilah guru kami

Limpahkanlah guru kami dengan rahmat dan barakahMu

Ya Allah

Izinkanlah kami berkumpul dengan guru kami di syurgaMu yang kekal Abadi.

Allahumma amiiin.

Sumber: Facebook Aminah Mat Yusoff

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok