Cara-cara mengajar murid kelas belakang, nombor 7 wajib baca!
Murid kelas belakang mampu beroleh kejayaan dalam akademik jika dibimbing pada tahap maksimum.
Justeru, Sinar Bestari berkongsikan cara-cara mengajar murid kelas belakang agar dapat menjadi panduan kepada semua guru sekolah.
1- Bekalkan kerja rumah yang mampu dibuat tanpa bantuan orang lain
Jika murid itu tidak dapat menyelesaikan tugasan dengan baik, sudah menjadi kebiasaan untuk mereka mendapatkan bimbingan daripada orang sekeliling.
Perlu diingatkan tidak semua kerja rumah memerlukan bantuan orang lain di rumah, jadi bekalkan tugasan yang mereka boleh buat.
Biarpun latihan itu kelihatan mudah, ia memberi kepuasan kepada murid-murid sekiranya mereka dapat menyelesaikannya sendiri.
Malah, murid akan ternanti-nanti untuk guru menanda buku mereka atau berbincang mengenai kerja rumah tersebut.
2- Percaya kemampuan murid
Walaupun murid itu dikategorikan kelas terakhir, penting untuk memberi peluang kepada mereka menyerlahkan bakat dan kemampuan.
Kadangkala masalah sikap yang menyebabkan mereka duduk di kelas belakang.
Latihan ringkas yang diberikan mestilah mengikut tahap kebolehan murid supaya dapat menjawab dengan baik.
Itu lebih baik untuk menguji kefahaman mereka daripada tidak berikan apa-apa langsung.
3- Berikan ganjaran
Salah satu cara mengajar murid kelas belakang adalah dengan mengadakan kuiz mudah di dalam kelas.
Kuiz ini bertujuan membuang anggapan murid-murid bahawa akademik itu susah di samping menggalakkan keseronokan ketika belajar.
Tetapkan sasaran yang perlu dicapai kemudian berikan ganjaran berbentuk hadiah untuk setiap kejayaan walaupun kecil. Murid akan berusaha ke arah itu.
Contoh, kalau dapat skor 15 ke atas cikgu akan beri setiap seorang seringgit.
4- Hubungkan dengan pelajaran semalam
Ulang semula pelajaran sebelumnya untuk kekalkan dalam ingatan murid kelas belakang walaupun sudah masuk tajuk baru.
Tanya kepada murid berkenaan apa yang dipelajari semalam sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Luangkan masa kepada untuk sesi sumbang saran agar mereka cuba sedaya upaya mengingat kembali.
Boleh berikan kad imbas atau apa-apa sahaja yang mendorong murid mengingat kembali pembelajaran semalam.
5- Elak mengejar silibus
Tidak dinafikan setiap tahun guru-guru perlu menamatkan silibus tetapi berpada-pada kerana bimbang anak murid keciciran.
Jika mereka tidak faham, PdP jadi tidak berguna, jadi, sumbangkan ilmu yang mereka dapat manfaatkan dalam jangka masa panjang.
Peperiksaan bukanlah kayu ukur segalanya sebaliknya ilmu yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan adalah lebih penting.
6- Pelbagaikan latihan
Murid-murid tidak akan bosan sekiranya lembaran kerja yang diberikan berbagai-bagai bentuk.
Ada tugasan isi tempat kosong, aktiviti padankan dan soalan pelbagai pilihan.
Apabila murid kerap membuat latihan, buku tulis akan cepat habis sebab mereka selalu menyalin.
Murid-murid sangat teruja bila buku habis kerana mereka dapat menulis dengan banyak dan yakin mata pelajaran itu senang.
7- Elak budaya mengungkit kesilapan murid
Budaya ini perlu dijauhi lagi-lagi apabila berhadapan dengan murid kelas belakang kerana mereka sensitif.
Murid menyedari mereka tidak cemerlang seperti rakan-rakan lain, jika tidak mampu mengawal emosi, lebih baik diamkan diri.
Sekiranya mengungkit, minta maaf kepada murid berkenaan supaya mereka kekal bermotivasi di sekolah.
Sinar Bestari berharap murid-murid kelas belakang mendapat bimbingan yang sewajarnya mengikut tahap kemampuan mereka dalam bidang akademik.
Artikel berkaitan
Panduan buat guru tadika, tip bagi anak murid suka datang sekolah tanpa ragam
Lebih 2 juta murid sekolah menengah kembali jalani PdP secara bersemuka
Menarik idea cikgu ini, jadikan sampul duit raya sebagai bahan pembelajaran murid Pemulihan Khas
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok