0128rskelas_1643428816
0128rskelas_1643428816

Tetap bersemangat walaupun tiada rakan sekelas, murid Tahun 2 jalani sesi pembelajaran secara berseorangan di dalam kelas

Adlan Farhan Azwan
31 Jan 2022 11:50am
A
A
A

Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing menjalani sesi persekolahan tanpa rakan-rakan di sisi apabila sekolah itu hanya mempunyai seorang murid Tahun Dua sahaja.

Nur Qaleesya Elieyna Abdul Qayyum, 8, merupakan murid tunggal berada di Tahun Dua sekolah berkenaan yang terletak di pinggir Sungai Pahang.

Menurut laporan oleh Harian Metro, dia tetap bersemangat meskipun terpaksa menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas secara berseorangan demi menimba ilmu akademik sama seperti rakan lain.

"Saya perlu kuatkan semangat walaupun kesunyian sepanjang berada dalam kelas, tiada gelak ketawa rakan dan teman untuk berbual," katanya.

Menurut Qaleesya, sebelum ini dia mempunyai rakan sekelas di kelas Dua Amanah. Namun, rakan sekelasnya itu terpaksa berpindah ke sekolah lain dan meninggalkannya seorang diri disebabkan terpaksa mengikut keluarga.

Sejak daripada itu, kelas Dua Amanah hanya mempunyai seorang murid dan suasana di dalam kelas kini menjadi sunyi dan tidak lagi dipenuhi gelak tawa murid-murid.

Qaleesya berkata, bukan mudah baginya untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang agak ganjil bagi murid usianya kerana dia seolah hilang tumpuan untuk belajar terutama apabila terpaksa belajar sendirian di dalam kelas. Namun, dengan sokongan keluarga dan guru perasaan kecewa dapat dikikis secara berperingkat.

“Walaupun saya memperoleh kelebihan dari segi tumpuan guru, saya tidak pernah mengalami keseronokan sepertimana yang dialami oleh murid Tahun Dua yang lain disebabkan saya seorang diri di dalam kelas.

"Situasi belajar bersendirian tanpa kawan-kawan di sisi akan terus kekal sehingga saya memasuki Tahun Enam. Saya reda dengan apa yang saya alami walaupun situasi ini sukar untuk diterima.

"Sekolah lain meriah dengan murid yang ramai...namun tidak berlaku di SK Belimbing yang terletak di kawasan luar bandar," katanya.

Sementara itu, guru besar, Zol Kefely Hussin berkata, SK Belimbing dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) ekoran daripada bilangan muridnya seramai 22 murid Tahun Satu hingga Enam.

Menurut beliau, kelas Tahun Satu mempunyai seramai enam murid, Tahun Dua (seorang), Tahun Tiga (tiada murid), Tahun Empat (tiga), Tahun Lima (dua) dan Tahun Enam (empat). Kelas pra sekolah pula kini mempunyai seramai enam murid.

“Sokongan padu yang diberikan semua guru dalam menjalankan tugas turut menjadi kelebihan keunikan di sekolah ini.

“Mereka tidak pernah menyesal bertugas di sekolah luar bandar yang cabaran berbeza dengan sekolah di bandar,” jelasnya.

Kini, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan mengesahkan sebanyak 11 sekolah yang dikategorikan SKM di seluruh daerah Pekan.

Artikel berkaitan

(VIDEO) Bantu kemaskan barang rakan OKU sebelum balik sekolah, cikgu terharu peribadi unggul murid

“Saya sanggup tolong datang mengecat cikgu, demi murid-murid sekolah kita walaupun tiada upah cikgu.” – Ngatiman

(VIDEO) Anak mengadu kelas panas, bapa terus beli 5 kipas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok