pexels-photo-3082451
pexels-photo-3082451

12 tip cara belajar dan skor A subjek Kimia, sangat mudah jika tahu teknik sebenar!

Roshlawaty Md Raieh
30 Jun 2022 12:48pm
A
A
A

Ada beberapa subjek yang dianggap sebagai subjek digeruni pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains tulen.

Antaranya subjek Kimia yang dilihat sebagai sukar untuk lulus apatah lagi untuk skor A.

Terdapat pelbagai faktor yang membuatkan pelajar sukar skor, antaranya tidak dapat menguasai asas perseimbangan persamaan kimia, asas formula kimia dan kefahaman terhadap term Mol dan Molar.

Justeru, Sinar Bestari kongsikan 12 tip bagaimana cara belajar dan skor A dalam mata pelajaran tersebut.

Moga ia dapat membantu calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

1) Cara membaca

Ketahuilah, membaca 10 muka surat buku teks Kimia tidak sama dengan membaca 10 muka surat subjek Sejarah atau buku teks Sivik.

Teks saintifik sangat padat yang mengandungi formula, graf, ilustrasi dan konsep yang sukar. Malahan, mungkin lebih sukar berbanding belajar subjek Matematik untuk kebanyakan pelajar.

Oleh itu, anda perlu memperuntukkan lebih banyak masa untuk membaca dan memahami Kimia. Sebagai contoh, ia mungkin mengambil masa 50 minit untuk menguasai hanya lima halaman buku teks Kimia tersebut.

Gambar hiasan daripada Pexels.

2) Tumpu dan ingat

Untuk meningkatkan penumpuan dan ingatan, bahagikan tugasan dalam pecahan atau tugas-tugas yang lebih kecil.

Lazimnya, kebanyakan pelajar lebih mudah menumpukan perhatian dengan membaca dan menghadam kandungan lima muka surat dalam satu masa berbanding jika membaca 20 muka surat. Betul tak?

3) Baca pasif

Biasakan membaca dengan aktif dan bukan secara pasif dan sambil itu berfikir. Cuba elakkan tingkah laku pasif seperti sekadar menandakan dengan highlighter buku teks anda.

Untuk meningkatkan tumpuan dan pemahaman tugasan dalam Kimia, pelajar perlu merumuskan atau membuat ringkasan atau nota kaki pada nota sendiri atau buku rujukan (tidak wajar menconteng buku teks sekolah, tetapi untuk membaca dengan aktif, anda boleh menulis nota kaki atau ringkasan pada bahan bacaan rujukan lain).

4) Nota kaki

Apabila membaca dan membuat nota kaki pada buku, sentiasa buat ringkasan, merumuskan dan menerangkan ilustrasi atau formula kerana ini adalah sama penting dengan perkataan di dalam teks.

5) Kefahaman

Sambil membaca dan belajar, kenal pasti apa yang anda tahu dan faham serta apa yang tidak tahu. Buat senarai soalan supaya pelajar boleh mencari jawapannya.

Jangan sekali-kali menunggu sehingga ‘last minute’ atau malam sebelum peperiksaan untuk mendapatkan jawapan yang tidak boleh diselesaikan atau baru cuba untuk memahami sesuatu konsep.

Tanya kepada guru Kimia. Jangan simpan terlalu banyak soalan untuk bertanya kepada guru kerana beliau juga mempunyai banyak tugasan yang telah terjadual. Jangan bertangguh-tangguh.

6) Kaji semula

Ambil masa untuk mengkaji semula nota-nota yang diberikan guru. Fahami setiap maklumat di dalam buku nota.

Gambar hiasan daripada Pexels.

7) Semak nota

Sejurus selepas kelas dalam talian atau bersemuka, ambil masa untuk edit dan semak nota yang anda salin. Sekiranya mendapati konsep atau idea yang tidak masuk akal atau seolah-olah tidak lengkap, bandingkan nota dengan kandungan buku teks atau buku rujukan sendiri.

8) Ambil masa sedikit

Sebagai persediaan untuk peperiksaan, ambil masa untuk menyelesaikan sebanyak mungkin bilangan masalah. Semakin banyak anda menyelesaikan masalah, besar kemungkinan anda akan lakukan tahap yang lebih tinggi dalam peperiksaan.

Cuba latih tubi yang guru dan tutor berikan atau buat latihan pelbagai buku aktiviti SPM yang ada dijual di pasaran. Buku teks mempunyai banyak latihan atau masalah dan soalan sampel - jika bajet kurang, cari buku rujukan di perpustakaan.

9) Selesai masalah

Ketika menyelesaikan masalah pastikan pelajar mampu untuk menjawab persoalan-persoalan seperti

  • Apa jenis masalah ini?
  • Mengapa?

10) Bincang

Cari rakan yang mahu berusaha untuk perbaiki tahap gred Kimia. Jika dapat, ia satu bonus buat pelajar tersebut. Ramai pelajar yang berjaya memberitahu, mereka belajar dengan lebih berkesan apabila mampu menerangkan kepada orang lain konsep yang telah mereka pelajari.

11) Amalkan

Amalkan menyelesaikan masalah dan menerangkannya dengan kuat. Bayangkan bahawa anda mengajar seseorang konsep Kimia.

Amalan begini meletakkan konsep dalam ingatan untuk jangka panjang (long term memory) pelajar. Cari teknik yang sesuai untuk menghafal sesuatu bahagian dalam bab Kimia.

Gambar hiasan daripada Pexels.

12) Ulangkaji semula

Selepas membuat latihan atau menjawab peperiksaan biasa, ambil masa untuk mengkaji semula jawapan anda. Ini ialah salah satu proses pembelajaran yang paling berkesan namun kerap tidak dilakukan oleh para pelajar.

"Wisest is she who knows what she does not know."

Dengan mengetahui perkara yang tidak anda fahami, sekurang-kurangnya pelajar telah bertindak segera untuk mempelajari dan memahaminya.

Jika diri tidak mengetahui dan belajar daripada kesilapan lalu, bagaimana anda hendak menjawab soalan yang sama dengan betul jika soalan tersebut muncul dalam peperiksaan akhir atau SPM? Untuk itu, baca setiap soalan dan lihat semua usaha. Kemudian, tanya diri sendiri

(A) Adakah saya terlepas sebarang soalan kerana saya salah baca atau salah faham perkara tersebut atau pilihan?

(B) Adakah saya terlepas sebarang soalan kerana saya tidak membaca sepenuhnya dan pertimbangkan semua pilihan?

(C) Adakah saya terlepas sebarang soalan kerana saya tidak tahu atau tidak jelas dengan konsep? Adakah saya perlu belajar nota dengan lebih? Atau buku teks? Lain-lain?

Kesimpulannya, buatlah persediaan awal untuk mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Kimia ini.

Kejayaan tidak datang secara bergolek. Belajar dengan bersistem dan berjadual pada masa yang sama setiap hari. Pastikan tempat belajar (di rumah) kemas dan tersusun rapi untuk memberikan suasana yang lebih kondusif.

Artikel berkaitan 

Ustaz Quszaini kongsi 4 kaedah mudah hafal surah

Amal 10 tip skor Biologi ini, pelajar pasti terkejut melihat hasilnya

3 pensyarah cipta produk ‘celik wang’, sasar kanak-kanak fahami ilmu pengurusan kewangan dengan mudah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok