Sky Broxlyne
Sky Broxlyne

Berkongsi maklumat dan pengetahuan, rahsia utama pelajar dari Sabah dinobatkan Johan Kuiz Asean 2022

Adlan Farhan Azwan
12 Sep 2022 03:39pm
A
A
A

Kejayaan pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau, Sabah, Sky Broxlyne Roy Maxwill, yang meraih gelaran Johan Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 merupakan hasil daripada perkongsian maklumat dan pengetahuannya bersama rakan-rakan dan para guru.

Dalam pertandingan yang telah diadakan secara dalam talian pada Julai lalu, Sky Broxlyne berjaya menewaskan 36,508 peserta bagi Kategori Murid Sekolah (15 hingga 17 tahun) dan membawa pulang wang tunai RM 2,500.

Kuiz ASEAN adalah pertandingan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan peserta, di samping bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada golongan belia terhadap aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.

Menurut Sky Broxlyne, dia sering membuat kajian, bertukar pendapat dengan rakan-rakan dari luar negara serta kerap bertanya kepada guru-guru.

Tambahnya, ia juga merupakan sebahagian persiapannya untuk mewakili Malaysia ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau yang akan diadakan di Myanmar Disember ini.

Dalam pada itu, tempat kedua pula dimenangi oleh pelajar dari SMK Methodist, Sibu, Sarawak, George Loh Ing Won, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala tempat ketiga dimenangi oleh pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, Terengganu, Muhammad Adam Haiqal Shaari Ismail yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu berkata, pertandingan itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

“Jumlah penyertaan bagi Kategori Murid Sekolah pada tahun ini adalah seramai 36,508 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding 25,595 penyertaan pada dua tahun lalu.

“Jumlah keseluruhan penyertaan pada tahun ini turut mencatat peningkatan sebanyak 54,796 iaitu 16 peratus berbanding 47,091 pada tahun yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Pertandingan ini merupakan acara dwi-tahunan secara berkala di bawah kalendar ASEAN-COCI (Committee of Culture and Information) yang merupakan antara badan di bawah ASEAN.

Kuiz ini telah memasuki edisi ke-10 penganjurannya pada tahun ini, setelah berjaya dilaksanakan sejak tahun 2002.

Artikel berkaitan

Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM cemerlang di World Scholar’s Cup Global Round 2022

Hebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia

Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok