Qaseh calon nilam kebangsaan kl 2022
Qaseh calon nilam kebangsaan kl 2022

Calon NILAM kebangsaan kongsi membaca seawal 5 tahun

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
27 Jun 2022 10:52am

Beruntunglah bagi sesiapa yang ulat buku kerana membaca merupakan jambatan ilmu di samping ia mampu menajamkan akal fikiran.

Tidak kira sebagai rujukan mahupun hobi, amalan mulia ini patut dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

Jika budaya ini diterapkan, maka ramailah pelapis program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dalam kalangan murid sekolah dapat dilahirkan. 

Bagi Nur Qaseh Zahra Mohd Nizam, 12, hobi membaca telah tersemat dalam dirinya sejak berusia sembilan tahun lagi.

Menurut murid Tahun Enam yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 2, Kuala Lumpur itu dia mula mengenal huruf sejak berusia tiga tahun walaupun masih belum bersekolah pada waktu itu.

“Ibu dan ayah mula mengajar saya membaca terutama berkaitan bahan bacaan kanak-kanak seperti buku Anakku sejak berumur tiga tahun.

“Ketika berumur lima tahun saya tidak mempunyai masalah mengenal huruf kerana sudah pun lancar membaca. 

“Sebelum ini, saya hanya membuat bacaan ringan seperti membaca buku Sang Kancil dan Sang Gajah tetapi mula aktif membaca bahan bertulis yang lebih berat sejak berada di Tahun Tiga,” katanya yang tercalon sebagai Tokoh NILAM Kuala Lumpur Peringkat Kebangsaan 2022, baru-baru ini.

Bercerita kepada Sinar Bestari, Nur Qaseh Zahra memberitahu mendapat latihan dan tunjuk ajar daripada guru pembimbing, Mastura Zawawi, 37, sejak berada di Tahun Tiga lagi.

Tambahnya, terdapat dua murid dicalonkan dalam program penilaian NILAM pada peringkat awal, namun dia yang terpilih untuk mewakili SK Padang Tembak 2.

Ulasnya lagi, sebanyak lima buah buku telah dikupas dalam pertandingan yang berlangsung pada minggu lepas dan kini dia sedang menunggu keputusan. 

“Saya berasa sangat teruja, gembira dan bersyukur apabila terpilih untuk mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan. 

“Saya juga sudah cuba melakukan yang terbaik pada pertandingan individu dan berkumpulan yang diadakan pada minggu lepas.

“Antara buku yang saya telah pilih untuk program Penilaian Tokoh NILAM Peringkat Kebangsaan 2022 adalah buku motivasi Nik Nur Madihah Permata Generasi Rabbani. Buku ini mengandungi 110 halaman bercetak dan diterbitkan Yamani Angle Sdn. Bhd. yang dicetak sebanyak dua kali pada 2009,” jelasnya lanjut.

Pandai bertutur dalam tiga bahasa

Anak sulung daripada empat beradik itu layak disifatkan sebagai seorang yang unik kerana berkebolehan menguasai tiga bahasa pada usia muda.

“Saya mempunyai kemahiran untuk bertutur dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin.

“Saya telah dihantar ke kelas tersebut sejak berumur tujuh tahun yang bertempat di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Namun begitu, saya tidak bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana ia terletak berjauhan dari kawasan rumah,” ujarnya.

Walaupun mempunyai kelebihan dalam bahasa ketiga tersebut, Nur Qaseh Zahra menggemari bahan bacaan dalam Bahasa Melayu.

“Saya lebih suka membaca buku Bahasa Melayu biarpun saya mempunyai banyak koleksi buku Bahasa Inggeris seperti ‘Talking English’. 

“Sewaktu masih kecil saya suka membaca buku berkenaan sebab terdapat alat untuk mendengar sebutan yang betul. 

“Penerbit sediakan pen pintar yang apabila disentuh pada buku berkenaan, maka ia akan mengeluarkan bunyi sebutan tertentu,” kongsinya.

Anak kepada pasangan tentera dan guru sekolah itu juga suka menghabiskan masanya membaca buku bukan fiksyen berbanding fiksyen seperti buku motivasi yang memberikan maklumat berpandukan fakta yang benar.  

Begitupun, Nur Qaseh Zahra masih membaca bahan fiksyen seperti novel dan buku-buku berbentuk fantasi serta khayalan.

“Saya juga berminat membaca novel. Saya boleh habiskan bacaan dalam tempoh lima hari paling awal. 

“Dalam masa sehari saya akan memperuntukkan masa tiga ke empat jam waktu lapang untuk menghabiskan bacaan. 

“Jika saya sibuk dengan kepadatan jadual harian untuk menghadiri kelas tuisyen dan mengaji, saya akan membaca novel satu ke dua jam sehari,” katanya.

Kualiti penulisan meningkat

“Alhamdulillah prestasi karangan saya bertambah baik selepas menyertai pertandingan yang mencabar seperti NILAM.

“Secara jujurnya, saya memperoleh markah karangan tertinggi bagi kertas peperiksaan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu. 

“Bagaimanapun, saya dapat tingkatkan gred karangan Bahasa Melayu dari B ke A kerana saya ada pengalaman bercerita dan berpidato, jadi saya mempunyai banyak idea,” katanya.

Selain itu, Nur Qaseh Zahra memberitahu suka membaca buku secara dalam talian di internet.

Di samping itu, dia juga mengambil kesempatan untuk mencatat butiran bacaan digital yang sudah tamat itu ke dalam buku NILAM.

“Melalui pembacaan di internet, saya dapat menambah pengetahuan mengenai tugasan sekolah dan cara belajar yang berkesan,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan 

Akademi NILAM lahirkan pembaca berkualiti

Program NILAM bantu pupuk semangat membaca dalam kalangan murid

SK Kenering lancar program NILAM, sasar murid-murid suka membaca pelbagai genre buku 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp