edric6
edric6

Edric minat sukan berkuda sejak kecil, berjaya sumbang pingat untuk negara dalam sukan ekuestrian

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
14 Mar 2022 02:44pm

Seawal usia sembilan tahun, Edric Lee Chin Hon sudah membabitkan diri dalam sukan ekuestrian menerusi Penang Turf Club Equestrian Club dan mendapat bimbingan daripada jurulatih pertamanya iaitu Johari Lee.

Ketika berumur 10 tahun, atlet sukan ekuestrian negara yang lebih mesra dengan panggilan Edric ini mula menyertai pertandingan dan ternyata peluang yang datang itu mencetuskan sesuatu dalam dirinya seterusnya menimbulkan minat terhadap kuda serta sukan itu sendiri.

Edric berkata, bakatnya disedari oleh Setiausaha Eksekutif Majlis Equin Malaysia (MEM), Datuk Malek Jeremiah yang mempelawanya untuk menjalani latihan dan meneruskan persekolahan di Sekolah Sukan Bukit Jalil di bawah program pembangunan ekuestrian untuk Malaysia.

“Ketika itu saya baru berumur 14 tahun. Saya berasa sangat bertuah kerana layak sebagai atlet ekuestrian kebangsaan pada umur 17 tahun dan berpeluang menyertai kejohanan Sukan SEA yang pertama di Korat, Thailand untuk acara eventing dan berjaya menyumbang pingat perak untuk pasukan Malaysia,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Bertitik tolak dari situ, Edric yang kini bertugas sebagai jurulatih kanan di Singapore Polo Club Riding Academy tidak lagi menoleh ke belakang dan meneruskan kerjayanya dalam sukan elit itu sehingga ke hari ini.

Edric (dua dari kanan) membantu pasukan dressage memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Pilih kerana minat

Ditanya kenapa beliau memilih untuk menceburi sukan ekuestrian, anak bongsu daripada dua orang adik beradik itu berkata, ia mungkin satu-satunya sukan yang sesuai dengan dirinya kerana semangat dan minat terhadap kuda terus menebal dari hari ke hari.

“Ekuestrian adalah satu-satunya sukan yang sangat unik dan berbeza daripada sukan lain di mana penunggang dan kuda perlu berkongsi ikatan yang kuat antara satu sama lain untuk beraksi dalam latihan dan pertandingan.

“Satu lagi aspek keunikan sukan ini ialah di mana lelaki dan wanita bersaing dalam acara dan kategori yang sama.

“Sudah tentunya sokongan padu daripada bapa, Lee Eng Huat dan ibu, Nancy Hong serta bimbingan berterusan daripada jurulatih, Johari Lee, Husref Malek Jeremiah dan Joyce Heuitink menguatkan lagi tekad saya untuk bersaing dalam sukan ini,” ujarnya yang menjadikan Michael Jung Germany sebagai idola dalam acara eventing.

Sepanjang membabitkan diri dalam sukan ekuestrian, Edric mencipta beberapa kejayaan termasuklah mendapat pingat perak dalam kejohanan CSIO 2 Star Showjumping di Seoul, Korea pada 2008 dan pingat emas berpasukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bagi acara dressage.

Sukan penuh cabaran

Berkongsi mengenai cabaran yang pernah dihadapi sepanjang bergiat aktif dalam sukan mahal ini, Edric berkata, ekuestrian di peringkat pertandingan menelan belanja yang tinggi.

“Ia termasuklah membeli kuda bagi menyertai kejohanan, berkempen untuk pertandingan, sesi latihan agar dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan banyak lagi.

“Tanpa sokongan penaja, ia sudah tentu menjadi cabaran terbesar yang perlu dihadapi dalam sukan ini. Bagaimanapun, saya sangat bertuah dan bersyukur kerana telah bertemu serta mendapat sokongan daripada penaja yang sangat menyokong kerjaya ekuestrian saya," jelasnya.

Bagi individu di luar sana yang berminat menceburi sukan berkuda ini, Edric turut menitipkan pesanan supaya mulakan dengan mencuba sukan berkenaan dan mungkin ia akan mencetuskan sesuatu dalam diri mereka.

“Apabila mencuba sukan ini untuk kali pertama, perlu ada keberanian, berfikiran terbuka dan sudah tentunya lakukan dengan penuh keseronokan,” tuturnya mengakhiri perbualan.

BIODATA

Nama penuh: Edric Lee Chin Hon

Tarikh lahir: 18 Februari 1990

Tempat lahir: Pulau Pinang

Kedudukan dalam keluarga: Anak bongsu daripada dua beradik

Pekerjaan: Jurulatih Kanan di Singapore Polo Club Riding Academy

Pencapaian: Sukan SEA Korat, Thailand 2007 - Pingat perak berpasukan (eventing)

CSIO 2 Star Showjumping in Seoul, Korea, 2008 - Pingat perak berpasukan

Australian Youth Olympic in Showjumping 2009 - Individu tempat kelima

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 - Pingat emas berpasukan (dressage)

5 perkara anda patut tahu mengenai sukan berkuda

1. Sukan ekuestrian adalah permainan dan pertandingan tertua di dunia yang masih popular sehingga ke hari ini.

2. Kuda adalah salah satu haiwan peliharaan tertua dalam kehidupan manusia. Orang ramai menggunakan kuda untuk merangka kereta, pertanian, peperangan, keseronokan, kebanggaan dan sebagai haiwan peneman.

3. Penggunaan kuda dalam sukan juga sudah mula dipraktikkan sejak zaman dahulu kala.

4. Pada masa kini, kuda kebanyakannya digunakan dalam permainan dan sukan termasuklah pertandingan di peringkat Olimpik seperti dressage, eventing dan show jumping.

5. Sukan berkuda atau menunggang kuda mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan fizikal dan mental.

Artikel berkaitan

Terkejut dengan pemergian rakan-rakan, satu kelas turut rasa sayu

Keluarga terharu terima diploma arwah anak

Siswazah bertemu ajal kerana sakit kepala, ibu sebak ambil skrol ijazah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp