Untitled design (65)
Untitled design (65)

Guru hasilkan lima novel berkisarkan dunia pendidikan

Azleenda Sahaludin
06 Jan 2023 03:51pm
A
A
A

Bidang penulisan terutamanya penulisan kreatif wajar untuk diketengahkan dengan lebih menyeluruh di semua peringkat dan lapisan masyarakat.

Ini dilihat sebagai usaha untuk memupuk lebih ramai penglibatan dalam menghasilkan karya tanpa mengira latar belakang seseorang itu selain turut menonjolkan bakat penulisan kreatif dalam kalangan masyarakat.

Menyedari perkara itu, guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah berkongsi keterujaan apabila berjaya menghasilkan lima buah novel yang kesemuanya berkisahkan dunia pendidikan.

Cikgu Ahmad berkata, idea untuk menulis novel-novel berkenaan tercetus daripada persekitarannya lebih-lebih lagi apabila sentiasa bergaul dan berbual dengan pelajar.

Beberapa pelajar bergambar kenangan memegang novel hasil penulisan Cikgu Ahmad.

Malah, pelajar-pelajarnya juga antara insan yang memberi perangsang untuk beliau terus menulis terutamanya ketika mempunyai masa terluang.

Antara novel yang ditulis oleh Cikgu Ahmad ialah Kasih Di Wajahnya, Nasi Lemak Ikan Pekasam, Tasbih buat Aishah, Tikar Mengkuang Nenek dan Kasih di Wajahmu Cikgu.

Dalam pada itu, Cikgu Ahmad menambah, masa yang diambil untuk menyiapkan sebuah novel lebih kurang tiga bulan sekiranya tiada kekangan masa dan tidak kering idea.

Baginya, menulis dilihat dapat membantu mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah selain ia dapat mengasah bakat serta menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Malah, novel-novel yang dihasilkan juga kebanyakannya berkisarkan kerjaya seorang guru serta hubungan mereka dengan pelajar dan ibu bapa.

“Novel-novel hasil penulisan saya ini berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sebenar yang berlaku di sekeliling saya.

“Semoga novel ini dapat dibaca dan dijadikan sebagai iktibar serta pengajaran dalam menempuh kehidupan bergelar seorang warga pendidik.

“Dan saya juga berharap novel ini akan terus memberi manfaat kepada pembaca sebagai dorongan untuk saya tidak berhenti menulis pada masa depan,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Artikel berkaitan

Guru sebak terima anugerah sempena Hadiah Sastera Perdana Malaysia

Calon NILAM kebangsaan kongsi membaca seawal 5 tahun

SK Kenering lancar program NILAM, sasar murid-murid suka membaca pelbagai genre buku


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok