HomeGen ZHakimie Adly kongsi tip jadi pencipta kandungan profesional

Hakimie Adly kongsi tip jadi pencipta kandungan profesional

Ramai beranggapan kerjaya pencipta kandungan hanya untuk mereka yang mempunyai jumlah pengikut media sosial tinggi. Adakah kenyataan itu benar?

Pencipta kandungan adalah bidang yang semakin mendapat permintaan tinggi di zaman digital hari ini dan pastinya menjadi rebutan pemain industri dalam usaha membantu memasarkan produk serta jenama syarikat masing-masing di platform media sosial.

Tugas utama mereka adalah mencipta kandungan digital berbentuk video, vlog, penulisan ataupun gambar yang akan dimuat naik ke dalam laman sosial.

Pencipta kandungan, Hakimie Adly Mustafa memberitahu, penghasilan kandungan kedengaran agak mudah tetapi proses pembikinan sesuatu kandungan itu tidak boleh diambil ringan.

“Sebagai pemula, mungkin mereka yang berminat menceburi bidang ini pada masa depan sudah boleh mula mencipta kandungan jenama sendiri. Sebagai contoh, jenama tersebut boleh dimuat naik di dalam media sosial peribadi masing-masing.

“Melalui pendekatan ini, mereka boleh mengenal pasti kelemahan-kelemahan pada karya mereka sekali gus dapat memperbaiki secara perlahan-lahan,” ujarnya kepada Sinar Bestari, ketika dihubungi baru-baru ini.

Hakimie Adly Mustafa

Pemuda berusia 25 tahun itu yang menceburi bidang tersebut selepas menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi dan Media Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu mengakui banyak membuat kajian berkaitan industri sebelum mula bertugas sebagai pencipta kandungan untuk salah sebuah syarikat swasta di negara ini.

Hakimie Adly berkongsi lima tip pemula yang ingin berkecimpung dalam bidang pembikinan kandungan kepada pembaca Sinar Bestari.

Jom kita lihat!

1.Peka dengan hal semasa

Pencipta kandungan yang baik adalah mereka yang peka dengan hal serta isu semasa. Ini akan membantu mereka dari segi idea kandungan yang akan dicipta kelak.

Industri kandungan sentiasa bergerak dengan pantas, hampir setiap minggu terdapat isu dan kemas kini terbaharu disediakan oleh platform digital.

Sebagai contoh, pada minggu lalu, platform TikTok telah mengeluarkan fungsi baharu yang mampu menapis kandungan positif dan negatif sebelum disiarkan untuk tatapan umum.

Anda mesti mengetahui tentang sebarang kemas kini terbaharu demi memastikan kandungan yang akan disampaikan kepada umum relevan dengan perkembangan semasa.

2.Penjadualan dan pengkhususan kategori

Pencipta kandungan perlu tahu tentang kandungan yang ingin disampaikan kepada khalayak melalui perbincangan bersama rakan sekerja, rakan-rakan malah keluarga.

Melalui perbincangan, anda akan menerima banyak maklum malas dalam penghasilan karya-karya menarik.

Selain itu, pencipta kandungan digalakkan merangka jadual berdasarkan hari dan masa untuk penghasilan serta muat naik kandungan.

Pengasingan dan penyelarasan karya-karya boleh dilakukan dengan susunan mengikut kategori masing-masing agar pengurusan masa lebih mantap.

3.Komunikasi

Menceburi bidang kandungan, anda akan berinteraksi dengan pelbagai pihak terutama pengikut di platform media sosial.

Hal ini demikian kerana jika tiada pengikut-pengikut tersebut, kandungan yang akan disiarkan kelak tidak akan memberi sebarang makna tanpa tontonan mereka.

Hubungan antara pengikut dan jenama sangat penting dan bergantung kepada pendekatan interaksi dengan mereka.

Untuk pemula, anda boleh berlatih melalui interaksi bersama kenalan di media sosial terlebih dahulu.

4.Analisis kandungan

Anda harus rajin melakukan analisis terhadap kandungan yang telah disiarkan dan cara ini dapat menunjukkan kelemahan-kelemahan kandungan yang dimuat naik dapat diperbaiki.

Dengan menganalisis, kita akan dapat melihat teguran serta apa yang boleh kita perbaiki melalui jumlah tontonan, komen yang ditinggalkan dan sebagainya.

5.Kemahiran dalam pelbagai aplikasi.

Sebagai pencipta kandungan, anda perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai media sosial ditawarkan di pasaran.

Anda harus cuba untuk membiasakan diri dengan fungsi-fungsi yang disediakan oleh platform berbeza kerana ia akan meningkatkan skil menyunting kandungan.

Latihan suntingan berterusan dan menggunakan pendekatan berbeza dapat menterjemahkan kandungan lebih menarik serta unik.

Artikel berkaitan

3 tip utama penghasilan resume 

Pembudayaan pendidikan digital SJKC Chung Hua raih 3 Anugerah DUTA

5 tip menjadi penulis kreatif, pensyarah ASWARA kongsi rahsianya!

 


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok