SHALIN - COVER
SHALIN - COVER

Shalin kebanggaan Malaysia

Norliza Wasilan
19 Sep 2022 11:49am
A
A
A

Fokus galas cabaran negara di arena boling antarabangsa.

Perjalanan kariernya hampir tiga dekad dalam skuad kebangsaan tenpin boling dan menjadi pemain profesional adalah satu tempoh cukup panjang bagi seorang atlet.

Dengan deretan kejuaraan dan pingat sejak remaja sehingga persaraannya pada Januari tahun lalu, Shalin Zulkifli, 44, atau lebih mesra disapa Shalin adalah antara atlet paling berjaya pernah negara miliki.

'Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang', cukup menggambarkan segala kerja keras Shalin memastikan Jalur Gemilang megah berkibar di arena antarabangsa.

Walaupun sudah mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan, namun bekas ratu boling ini mengakui sukan itu masih dihatinya.

Shalin yang dilahirkan di North Islington, England, ini mempunyai pencapaian cukup luar biasa dengan pungutan 74 pingat di peringkat senior.

Ketika usianya 16 tahun, beliau menjadi atlet pertama dan termuda negara menjuarai Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars 1994, mengalahkan pemain handalan lain.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Kerjaya di Sekretariat Kerjaya, Pendidikan dan Kebajikan, Majlis Sukan Negara (MSN) sejak Januari lalu turut melakar kecemerlangan menjuarai tiga Kejohanan Dunia yang diadakan di Malaysia (2003), Mexico (2007) dan Las Vegas, Amerika Syarikat (2017).

Pencapaian yang cukup mengagumkan itu turut melayakkannya diiktiraf Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Mengulas minatnya dalam sukan boling, Shalin berkata, ia bermula selepas kerap menemani ibu bapanya berlatih ketika usianya 9 tahun,

Menurutnya lagi, ketika itu beliau juga masih tercari-cari sukan yang sesuai bagi aktiviti di sekolah.

“Di sekolah, saya sudah cuba banyak sukan antaranya bola jaring, lontar peluru, badminton dan lompat pagar, tapi nampaknya tidak sesuai.

“Untuk memilih sukan bersesuaian dengan diri, kita perlu tengok kelebihan dan kelemahan dahulu,” ujarnya yang cukup meminati legenda boling dunia, Parker Bohn dan juga legenda bola keranjang, Micheal Jordan.

Kejayaan

Berkongsi kejayaanya, Shalin yang menghabiskan kebanyakan masa di gelanggang sejak usia belasan tahun menegaskan, pencapaian diraih adalah hasil kerja keras, doa serta sokongan daripada keluarga serta semangat berpasukan.

Tuturnya, sebagai atlet, walau dalam keadaan apa sekali pun, mental harus kuat terutama menjelang pertandingan seterusnya memberikan persembahan terbaik untuk Malaysia.

“Apabila dipilih mewakili Malaysia, ini bermakna kita menggalas tanggungjawab besar terhadap negara walaupun ketika itu mengalami kecederaan.

“Kita sudah pun sampai sana (tempat pertandingan), takkan hendak tarik diri, yang penting buat sehabis baik, tamat pertandingan barulah ambil masa berehat dan dapatkan rawatan, itulah yang saya lakukan, bukan saja saya, tetapi juga atlet lain,” ujarnya.

Selain itu, pemegang Ijazah Sains Sukan pengkhususan Psikologi dan Latihan Sukan, Universiti Malaya (UM) itu turut berkongsi pandangannya mengenai pentingnya pendidikan demi masa depan atlet.

“Suka atau tidak, perlu ada pendidikan untuk masa depan, pada masa sama ia perlulah seiring dengan latihan untuk mendapatkan keputusan terbaik.

“Perlu bijak bahagikan masa, itu yang akan membezakan anda dengan orang lain.

“Sekarang, jika anda atlet berbakat, maka mudah untuk mendapatkan tajaan (pendidikan), jadi ambillah peluang yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai atlet pelapis boling yang ada hari ini, Shalin mengakui mereka mempunyai potensi dan boleh meraih kejayaan lebih banyak.

”Sama seperti atlet lain, mereka perlu bekerja keras kerana kejayaan tidak datang begitu saja, keputusan ditentukan sebanyak mana usaha yang dilakukan,” ujarnya.

Antara kejayaan Shalin Zulkifli

Juara Terbuka Wanita Kent Malaysian-All Stars (1994)

Diundi sebagai pemain paling bernilai (1996)

Pingat emas beregu dan berpasukan Kejohanan Belia Asia (Singapura) dan emas beregu, kumpulan bertiga, berpasukan, semua acara dan Master Sukan SEA Brunei (1999).

Juara wanita pertama World Tenpin Masters, England (2001)

Pingat emas perseorangan, semua acara, kumpulan berdua, berpasukan Sukan SEA Malaysia (2001)

Juara Masters Wanita Terbuka Antarabangsa Thailand dan Juara Wanita Terbuka Antarabangsa Filipina (2002)

Juara berpasukan wanita World Tenpin Team Cup, emas berpasukan Kejohanan Boling Tenpin Sedunia, Juara wanita Asian Bowling Tour Grand Slam dan emas berpasukan World Tenpin (2003)

Juara Wanita Terbuka Bahrain (2004)

Pingat emas Masters, beregu campuran dan berpasukan Kejohanan Boling Komanwel (Cyprus) dan Johan Terbuka Wanita Kejohanan Kebangsaan Malaysia (2005)

Pingat emas berpasukan, trio dan Masters Sukan SEA Kuala Lumpur dan emas berpasukan Kejohanan Boling Dunia, Las Vegas (2017)

Pingat emas individu dan membantu Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Tenpin Boling Asia, Kuwait (2019)

Artikel berkaitan

Ben kongsi tip bermain boling

Sentuhan karya grafiti guru ini cukup luar biasa

Karya grafiti membawa Katun menjelajah dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok