INOVASI-BOLA-SINARBESTARI-2022 (1)
INOVASI-BOLA-SINARBESTARI-2022 (1)

4 inovasi baharu Piala Dunia Qatar 2022

nadzarul.amir
07 Dec 2022 11:24am
A
A
A

Kejohanan bola sepak paling berprestij membuka tirai di Stadium Al Bayt, Qatar bermula 20 November hingga 18 Disember ini.

Penantian peminat bola sepak pasti terubat apabila dapat menyaksikan Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) edisi ke-22 yang melakar sejarah tersendiri itu.

Qatar selaku tuan rumah menjadi negara Timur Tengah pertama diberi penghormatan sebagai penganjur kejohanan.

Bahkan, Piala Dunia kali ini dikatakan paling mahal dalam sejarah kejohanan sehingga mencecah lebih RM900 bilion untuk membangunkan projek infrastruktur.

Ia merangkumi pembinaan stadium, lebuh raya, hotel dan sebagainya dalam melancarkan kejohanan berkenaan.

Selain itu, terdapat beberapa inovasi dan teknologi menarik yang digunakan pada Piala Dunia kali ini.

Sinar Bestari dedahkan antara empat pembaharuan inovasi terkini pada kejohanan yang diadakan empat tahun sekali itu.

Sistem ofsaid separa automati- Kredit gambar FIFA.

Sistem ofsaid separa automatik

Buat julung kali, FIFA memperkenalkan teknologi sistem ofsaid separa automatik pada kejohanan Piala Dunia di Qatar.

Teknologi terbaharu itu akan menawarkan sokongan kepada pegawai perlawanan video dan pengadil di atas padang bagi memastikan keputusan diperoleh dengan pantas.

Paparan animasi tiga dimensi (3D) kejadian akan disiarkan untuk tatapan peminat di stadium dan televisyen.

Dalam pada itu, sebanyak 12 kamera di setiap stadium akan menjejaki 29 titik pada badan para pemain di atas padang ketika perlawanan.

Sensor yang ditanam di dalam bola perlawanan pula akan menghantar data ke bilik gerakan video bantuan pengadil (VAR) sebanyak 500 kali sesaat bagi membolehkan penilaian tepat.

Teknologi baharu tersebut telah dicuba di dua kejohanan FIFA dan dalam perlawanan ujian di semua stadium yang menganjurkan perlawanan Piala Dunia.

Bola Al-Rihla. - Kredit gambar Adidas.

Bola Al Rihla

Bola keluaran Adidas yang diberi nama Al Rihla merupakan perkataan Arab membawa maksud perjalanan (the journey).

Al Rihla didatangkan dengan teknologi baharu dalam membantu mempermudahkan tugas para pengadil ketika perlawanan berlangsung.

Teknologi yang terdapat pada bola berkenaan akan disambung pada sistem di stadium untuk memberi amaran ofsaid pada masa nyata kepada pegawai perlawanan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Sistem offsaid separuh automatik itu diperkenalkan buat kali pertama pada Piala Dunia edisi kali ini di Qatar.

Selain itu, Al Rihla didakwa bola terpantas pernah dihasilkan dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.

Dibangunkan untuk menyokong kelajuan permainan bola sepak moden dengan didatangkan dua ciri utama CRT-CORE dan SPEEDSHELL.

CRT-CORE bertindak meningkatkan kelajuan, ketepatan dan konsistensi untuk permainan pantas di atas padang.

Selain itu ia juga memastikan ketepatan lantunan bola untuk memastikan para pemain dapat menunjukkan aksi terbaik.

SPEEDSHELL pula merupakan kulit sintetik PU didatangkan dengan bentuk panel 20 keping baharu dalam meningkatkan ketepatan rembatan dan kestabilan apabila berada di udara serta lencongan padu ketika rembatan.

Al Rihla merupakan bola pertama Piala Dunia FIFA yang diperbuat secara eksklusif menggunakan dakwat dan gam berasaskan air.

Ia dikatakan bola paling mesra alam pernah dibangunkan untuk kejohanan berprestij tersebut.

Teknologi penyejukan stadium. - Kredit gambar FIFA

Teknologi penyejukan stadium

Sebanyak tujuh daripada lapan stadium Piala Dunia FIFA 2022 Qatar menampilkan teknologi penyejukan terkini.

Ia bagi memastikan stadium berada pada suhu 20 darjah celsius untuk keselesaan pemain dan peminat.

Teknologi itu menggunakan gabungan penebat, penyejukan bersasar dan sensor untuk memastikan suhu sentiasa ideal. Kaedah terbaharu itu bermakna stadium hanya perlu disejukkan dua jam sebelum perlawanan.

Teknologi itu dianggarkan 40 peratus lebih mampan dan cekap tenaga berbanding sistem penyejukan konvensional.

Teknologi Bonocle membantu OKU penglihatan menikmati Piala Dunia Qatar 2022. - Kredit gambar Bonocle.

Bonocle dan Feelix Palm

Mungkin tidak terlintas di fikiran peminat Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk menikmati Piala Dunia 2022.

Begitupun, melalui inovasi teknologi terbaharu yang dibangunkan Bonocle dan Feelix Palm, mereka dapat merasai sendiri pengalaman kejohanan berprestij tersebut.

Bonocle merupakan platform hiburan braille pertama di dunia yang didatangkan fungsi pengekodan dan teknologi Bluetooth.

Selain itu, Feelix Palm pula merupakan komunikator tapak tangan dengan ciri sentuhan turut digunakan di Qatar.

Dengan menggunakan gerakan elektrik, Feelix Palm menawarkan mesej seperti braille kepada golongan OKU penglihatan tanpa mengganggu pergerakan fizikal atau pendengaran mereka.

Artikel berkaitan

Profesor ajar sejarah dengan tonton Piala Dunia 2022

5 fakta menarik tuan rumah Piala Dunia 2022 Qatar

4 kriteria pengadil Piala Dunia 2022 Qatar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok