kote mamak
kote mamak

Penyelidik hasilkan brownies tanpa gula! Inovasi manisan daripada tumbuhan

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
03 Oct 2022 05:54pm

Nama saintifiknya, Cassia Grandis, tumbuhan ini lebih dikenali sebagai kote mamak dalam kalangan masyarakat kita.

Pokok ini bukan sahaja terkenal dengan khasiat kepada tubuh badan, malah ia juga dijadikan perasa tambahan dalam makanan dan hidangan seharian.

Buktinya, Cassia Grandis Brownies yang diinovasikan oleh pasukan Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) memenangi ‘Certificate of Excellence Gold Award’ dalam ‘Kedah International Culinary Innovation Competition KEDIEC 2021’.

Brownies merupakan manisan yang seakan kek coklat tetapi teksturnya lebih padat, manis dan dipotong dalam bentuk bongkah kecil. Ia amat popular di serata tempat pada hari ini termasuk negara kita.

Brownies yang menggunakan tumbuhan kote mamak sebagai pengganti gula.

Menurut salah seorang penyelidik, Norhafizi Nordin, projek ini ternyata memberikan kelainan dan keenakan tersendiri dalam pembuatan brownies.

“Inovasi ini menggunakan serbuk kote mamak sebagai salah satu bahan utama yang menambahkan nutrisi, menaikkan aroma dan rasa yang unik kepada manisan ini.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dań segar, memang seronok tengok brownies sedap, mewah coklat, harum, tekstur lembut, kenyal, berkedut-kedut serta berkhasiat yang memikat selera.

“Idea penghasilan ini bermula ketika sedang jogging di sekitar kampus, saya melihat banyak buah ini gugur di tepi jalan dan memburuk begitu sahaja, kemudian tertarik dengan keunikan buah ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Cassia grandis atau kote mamak yang digunakan sebagai pemanis dalam adunan brownies.

Kemudian, dia melakukan carian di laman sesawang dan menemui beberapa kajian mengenai tumbuhan ini terutamanya dalam bidang perubatan yang membantu merawat penyakit anemia serta menambahkan zat besi dalam darah.

Sambungnya, kajian mengesahkan biji buah tumbuhan ini berpotensi mempunyai khasiat berikutan komposisi nutrisi yang mengandungi kandungan zat besi yang baik, kehadiran saponin, porfirin, flavonoid, tanin, fenol, minyak pati dan keupayaan antioksidan yang tinggi.

“Nutrisi ini bermanfaat bagi mengurangkan masalah pencernaan dan kencing manis, pada masa sama pulpa daripada buah ini berpotensi melawan diabetes di mana ia menunjukkan penurunan kadar glukosa darah,” ujarnya.

Seorang lagi penyelidik, Siti Aminah berkata, masyarakat zaman dahulu menggunakan buah tumbuhan ini sebagai manisan yang dimakan bersama pulut lemak kerana rasa manis serta masam dari buah ini.

“Bijinya juga mempunyai aroma yang unik seperti bau kekacang dan amat sesuai digunakan dalam manisan terutamanya berasaskan coklat.

“Namun begitu, penggunaan buah ini dalam bidang kulinari secara komersial masih terhad dan tidak banyak penyelidikan serta pembangunan mengenai khasiat buah ini dijalankan.

“Melihat kepada gaya hidup moden kini, pola pemakanan semakin berubah dan makanan yang tidak sihat dan manis semakin menarik selera rakyat Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya, trend makanan manis seperti fenomena teh boba, ‘frozen yogurt’, ‘bingsu’, kopi jalanan dan manisan berasaskan coklat semakin menjadi buruan ramai.

“Amalan pemakanan yang tidak sihat ini mengundang pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetis.

“Oleh itu, inisiatif penghasilan produk berasaskan biji kote mamak ini mampu memberi faedah kepada pengguna, seterusnya menjadikan serbuk ini sebagai salah satu produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang boleh dikomersialkan,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Penyelidik UTM berjaya bangunkan alat khas bantu golongan buta warna

Penyelidik UMP berjaya hasilkan sisa nanas alternatif medium penanaman cendawan

Penyelidik USIM hasilkan set lengkap hidroponik dan agih kepada 50 keluarga PPR yang bertuah. Rezeki!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp