IKON-JURUTERBANG-SINARBESTARI-2022 (4)
IKON-JURUTERBANG-SINARBESTARI-2022 (4)

Kapten Vijayan kembali jadi juruterbang. Akui kerjaya juruterbang mengujakan

nadzarul.amir
21 Nov 2022 01:29pm
A
A
A

“Menjadi pemandu e-hailing lebih memenatkan berbanding bertugas sebagai juruterbang.”

Ini pengakuan ikhlas juruterbang pesawat Airbus A330 AirAsia X (AAX), Kapten Vijayan A/L Gobal membuktikan industri penerbangan tidak terkecuali terkena tempias pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Memiliki pengalaman selama 16 tahun dalam industri penerbangan, Vijayan memilih menjadi pemandu e-hailing sebagai alternatif mencari mata pencarian.

“Saya baru kembali bekerja sebagai juruterbang selepas dua tahun setengah industri penerbangan terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.

“Begitupun, sepanjang tempoh berkenaan, saya memilih untuk menjadi pemandu e-hailing dan agak terkejut apabila ia bukanlah satu tugas yang mudah malah lebih memenatkan,” jelasnya.

Lelaki berusia 36 tahun itu berkata, sebagai pemandu e-hailing dia perlu melayan pelbagai kerenah para penumpang dan mengharungi 'lautan' kenderaan pada waktu puncak.

Dia menjelaskan, ia sama sekali berbeza ketika menjadi juruterbang kerana tidak perlu bersemuka dengan para penumpang.

“Bagaimanapun, pengalaman berkenaan tidak ternilai kerana dapat mengenali pelbagai ragam manusia,” ujarnya.

Vijayan memiliki pengalaman selama 16 tahun dalam dunia industri penerbangan.

Pandemik Covid-19

Selain menjadi pemandu e-hailing, Vijayan yang berasal dari Damansara, Selangor, berkhidmat sebagai perunding harta tanah dan berpeluang mengikuti kursus dron AirAsia sepanjang tempoh pandemik.

Bahkan, dia sangat teruja kerana dapat kembali menggalas amanah sebagai juruterbang pesawat Airbus A330 AirAsia X selepas hampir tiga tahun 'berehat' panjang.

Menyedari landskap pekerjaan hari ini masih belum pulih sepenuhnya, dia sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan menabur bakti dalam syarikat penerbangan terbabit selepas mengambil cuti tanpa gaji.

“Saya memahami keadaan syarikat yang berdepan cabaran pandemik Covid-19 terutama melibatkan kekurangan penerbangan.

“Justeru, saya perlu bertoleransi dan akan terus menggalas tugas sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Vijayan menjelaskan sebelum memulakan tugas selepas 'bercuti' panjang, para juruterbang terlebih dahulu perlu menjalani latihan untuk menyesuaikan diri semula pada rutin penerbangan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu keutamaan adalah untuk memastikan keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat.

Vijayan (kiri) dan Stasha Rina Khan (kanan) merupakan antara tenaga kerja industri penerbangan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Graduan program kadet AirAsia yang menimba ilmu di Malaysian Flying Academy, Batu Berendam, Melaka, ini mula menerbangkan pesawat awam seawal usia 20 tahun dan memiliki pelbagai pengalaman menarik serta mencabar sepanjang bergelar juruterbang.

Pengalaman menarik dan mencabar

Bercerita mengenai pengalaman menarik, dia berkata memilih karier sebagai juruterbang membuka ruang dan peluang kepada dirinya untuk mengenali negara luar dengan lebih dekat.

Mengimbau kenangan sebelum pandemik Covid-19, dia memberitahu, terdapat banyak destinasi antarabangsa menarik ditawarkan kepada para pelanggan termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia, India, Indonesia dan banyak lagi.

“Justeru, sebagai juruterbang perlu memiliki ilmu pengetahuan mengenai destinasi-destinasi terbabit.

“Setiap penerbangan memberi pengalaman berbeza walaupun destinasi yang ditujui adalah sama.

“Persiapan awal amat penting kerana pengetahuan mengenai negara-negara bakal dikunjungi seperti budaya, masyarakat, landskap geografi, keadaan lapangan terbang, destinasi menarik malah cuaca banyak membantu dalam kerjaya juruterbang,” ujarnya.

Vijayan teruja dapat menabur bakti kembali dalam industri penerbangan.

Melalui penerbangan, dia memberitahu, dapat mendekati budaya dan pelbagai masyarakat luar negara.

Katanya, ia bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan tetapi sekali gus menjentik perasaan dalam menghargai setiap budaya di seluruh dunia.

“Secara peribadi, pengalaman berkenaan merupakan antara kelebihan yang dapat diperoleh apabila bergelar juruterbang, bukan semua orang dapat mengembara ke negara-negara baharu serata dunia,” katanya sambil mengukir senyuman.

Lelaki yang cukup peramah itu memberitahu, masalah teknikal jarang berlaku sepanjang pengalaman selama 16 tahun di lapangan berikutan pesawat diselenggara dengan baik.

Bagaimanapun, dia menegaskan juruterbang perlu bersedia mendepani pelbagai senario mencabar.

“Antaranya kecemasan perubatan yang perlu dilalui juruterbang. Sebagai contoh, jika penumpang secara tiba-tiba terkena serangan jantung.

“Dalam situasi berkenaan, apa yang perlu dilakukan oleh juruterbang dalam memastikan nyawa penumpang selamat.

“Sifat penyabar dan tidak mudah panik perlu diterapkan dalam diri mereka yang ingin bergelar juruterbang. Ini kerana kita mengejar masa dalam memastikan keselamatan nyawa penumpang apatah lagi penerbangan jarak jauh,” katanya.

Selain senario kecemasan perubatan, Vijayan menambah keadaan cuaca juga merupakan antara cabaran yang perlu dilalui para juruterbang kerana perlu cekap mengendalikan pesawat jika terdapat perubahan cuaca.

Profesionalisme

Mengulas berhubung karier juruterbang, dia berkata seseorang perlu menetapkan sasaran pada peringkat awal lagi untuk berkecimpung dalam bidang berkenaan.

“Sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka sudah boleh mendalami selok-belok industri penerbangan seperti pesawat, syarikat penerbangan dan sekolah-sekolah penerbangan yang terdapat di negara ini.

“Apabila melangkah ke alam pekerjaan sebagai juruterbang sentiasa semai sikap profesionalisme terutama dalam memberi komitmen dan memiliki rasa tanggungjawab terhadap amanah diberikan,” tuturnya lanjut.

Katanya, ia perlu disemai dalam diri kerana sebagai juruterbang, besar amanah yang perlu digalas melibatkan ratusan nyawa dan harta benda.

“Jangan mudah mengalah, jatuh sekali, bangkit semula,” katanya menutup bicara.

Jenis-Jenis Lesen Penerbangan

Lesen Juruterbang Persendirian PPL

Lesen Juruterbang Pelatih (SPL)

Lesen Juruterbang Komersial

Lesen Juruterbang Pengangkutan Syarikat Penerbangan (ATPL)Lesen Kepelbagaian Juruterbang (MPL)

* Sumber Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

Artikel berkaitan

Stasha Rina Khan kongsi petua

Anak Malaysia raih markah tertinggi dalam tesis master bidang pesawat di United Kingdom

25 pegawai kanan ATM sertai Bengkel Kerja Kemahiran Andragogi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok