haslinda
haslinda

Akauntan perlu beretika dan profesional, kuasai kemahiran teknikal dan insaniah

Nor Azma  Muhamat Laila
25 Jul 2022 02:33pm
A
A
A

Bidang perakaunan dan kewangan tersenarai dalam ‘Top 5’ kerjaya yang mendapat permintaan tinggi baik di Malaysia atau dunia kerana ia sangat berkaitan dengan operasi sesebuah syarikat atau organisasi.

Mengambil kira semua organisasi sama ada sektor kerajaan, swasta mahupun industri kecil dan sederhana, semuanya memerlukan kepakaran daripada individu yang mahir dalam bidang perakaunan dan kewangan, sekali gus menunjukkan bidang ini sememang menjanjikan peluang kerjaya yang meluas.

Sehubungan itu, bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang perakaunan, sudah tentunya perlu memiliki kemahiran dan kepakaran yang terbaik supaya dapat menyempurnakan tugas dengan cemerlang.

Dekan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Haslinda Yusoff, 50, berkata, terdapat dua perkara yang perlu dikuasai sekiranya ingin menjadi akauntan yang bertauliah dan berjaya iaitu kemahiran teknikal dan insaniah.

Haslinda.

“Kemahiran teknikal perlu dikuasai kerana akauntan bukan saja perlu buat kira-kira tetapi juga laporan dan analisis untuk kegunaan syarikat seterusnya dibentangkan kepada pihak pengurusan dan jabatan yang berkaitan.

“Selain itu, sejajar dengan perkembangan dalam kerjaya ini tugas akauntan tidak lagi terhad kepada kerja mengira semata-mata, kemahiran insaniah dilihat turut sama penting dengan kemahiran teknikal,” katanya.

Kuasai kemahiran insaniah

Tambah Haslinda yang juga Timbalan Pengerusi, Majlis Dekan-Dekan Perakaunan Malaysia lagi, antara kemahiran insaniah yang perlu dikuasai ialah kebolehan analitikal dan menyelesaikan masalah.

“Jangkaan syarikat dan majikan hari ini sudah berubah di mana mereka mahu akauntan yang bukan saja bijak membuat kira-kira dan laporan kewangan tetapi turut berperanan sebagai ahli strategi dan pembuat keputusan.

“Disebabkan itu, seorang akauntan perlu memiliki kemahiran berfikir secara kritikal,” ujarnya yang memiliki pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perakaunan.

Selain itu, Haslinda berkata, kemahiran komunikasi juga aspek penting yang perlu dititikberatkan oleh akauntan jika mahu berjaya dalam kerjaya yang diceburi.

“Kemahiran komunikasi ini termasuklah secara lisan dan bertulis kerana akauntan perlu membuat laporan dan menerangkan kepada pihak pengurusan serta ahli lembaga pengarah mengenai keadaan kewangan syarikat.

“Kemahiran pengurusan juga perlu diberi perhatian kerana akauntan berperanan mengurus data bermula daripada pelaporan sehinggalah kepada tugas memberi nasihat kepada syarikat mengenai hala tuju kewangan di masa depan,” jelasnya.

Etika dan profesionalisme

Dalam pada itu, Haslinda menjelaskan perkara yang paling penting untuk menjadi akauntan yang berjaya ialah mempunyai nilai etika dan profesionalisme yang tinggi ketika menjalankan tugasnya.

“Ini kerana akauntan yang menjaga data kewangan syarikat. Jadi, memang kena bertanggungjawab, beretika dan profesional dalam menguruskan data, menyediakan laporan dan menyampaikan maklumat kepada pihak lain.

“Selain itu, seorang akauntan juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan dan bekerjasama dalam pasukan kerana jabatan-jabatan lain dalam syarikat sangat berharap dan bergantung kepada data serta laporan yang disediakan.

“Jadi, mahu atau tidak, akauntan perlu tahu aspek kepimpinan supaya mereka boleh memimpin jabatan dan sinergi bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain yang ada dalam syarikat,” ujarnya lanjut.

Sejajar dengan perkembangan teknologi dan permintaan pasaran dunia, Haslinda berkata, akauntan pada hari ini juga perlu memiliki kebolehan dalam bidang teknologi atau lebih ‘technology savvy’ kerana kebanyakan penyediaan laporan dan pengurusan data dibuat menggunakan perisian komputer.

“Oleh itu, mana-mana akauntan perlu mahir teknologi memandangkan mekanisma yang digunakan pada hari ini semua berasaskan teknologi dan ia akan membantu mereka memahami dengan lebih mudah pelaporan yang dibuat.

“Semua kemahiran ini sebenarnya berbalik kepada perkembangan jangkaan industri terhadap peranan akauntan yang bukan lagi menjadi tukang kira semata-mata sebaliknya turut menjadi ahli strategi dan pembuat keputusan,” tuturnya.

Laluan kerjaya dalam bidang perakaunan

1. Akauntan

Jika anda cekap dengan nombor, mengimbangi buku cek, mengekalkan anggaran, atau anda suka mempelajari matematik, anda boleh mempertimbangkan kerjaya sebagai akauntan.

2. Penganalisis Belanjawan (Budget Analyst)

Penganalisis belanjawan menyediakan kepakaran penting dalam perancangan dan pengurusan kewangan untuk pelbagai organisasi termasuk institusi pendidikan, sistem kesihatan, kerajaan dan perniagaan.

3. Juruaudit

Juruaudit dalaman memainkan peranan utama dalam mengekalkan kedudukan kewangan kedua-dua syarikat persendirian dan awam. Mereka memastikan perjalanan perniagaan secara cekap menggunakan dana syarikat, serta bertanggungjawab dalam memeriksa tanda-tanda penipuan dan salah urus perniagaan syarikat.

4. Akauntan gaji (Payroll Accountant)

Sama ada syarikat besar atau butik kecil, kebiasaannya perniagaan mempunyai jabatan gaji (payroll department), atau sekurang-kurangnya, akauntan gaji yang memainkan peranan utama dalam mengawasi gaji pekerja secara betul dan tepat.

5. Akauntan cukai (Tax Accountant)

Perakaunan cukai adalah kerjaya yang menawarkan banyak laluan yang berbeza dalam skop umumnya. Akauntan cukai terdapat dalam pelbagai skop. Mereka bekerja dengan individu, perniagaan kecil atau syarikat multinasional utama. Kerja mereka adalah memfailkan cukai pendapatan seseorang dengan portfolio pelaburan yang besar, sumber pendapatan yang pelbagai, akaun amanah, ataupun pelbagai harta.

Artikel berkaitan

Zaiton teraju MyPAC, bantu lebih ramai pelajar B40, asnaf jadi akauntan bertauliah

Yayasan Peneraju terus lahirkan World Prize Winner dalam peperiksaan CAT dan ACCA

Pelajar Jurusan Perakaunan ditawarkan dermasiswa 1 juta


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok