photo1629107485
photo1629107485

"Kelab Rekacipta Digital lahir pelajar celik ICT" - Cikgu Khalifa

Roshlawaty Md Raieh
16 Aug 2021 06:14pm
A
A
A

Kelab Rekacipta Digital (Digital Maker Club) Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, merupakan sebuah kelab yang berperanan besar dalam usaha menjadikan kolej tersebut sebagai sebuah institusi berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan media.

Ketua Penasihat Kelab tersebut, Cikgu Mohd Al Khalifa Mohd Affnan berkata, seramai 30 ahli telah berdaftar manakala lima guru penasihat dipilih untuk membantu kelab yang baru sahaja ditubuhkan pada 2019 dengan nama asalnya Kelab Komputer.

Beliau berkata, misi kelab memfokuskan kepada kemahiran dan kepakaran ahli dalam dunia ICT, bersesuaian dengan zaman sekarang.

“Kita mahu mereka termasuklah warga KV Keningau menjadikan bidang ICT ini sebagai platform untuk berjaya dalam dunia yang makin mencabar ini,” kata guru Bahasa Inggeris yang baru sahaja diumumkan sebagai pemenang Global 2022 Cambridge Dedicated Teacher Awards, baru-baru ini sekali gus menjadi guru Malaysia pertama yang dipilih sebagai pemenang untuk anugerah di peringkat global itu.

Sambung beliau, dengan berkongsi bidang ICT yang merujuk kepada penggunaan teknologi digital seperti komputer, telefon, televisyen, e-mel dan sebagainya boleh membantu individu atau organisasi menggunakan maklumat.

Cikgu Khalifa merupakan antara guru yang sentiasa menerima pelbagai anugerah sepanjang bergelar pendidik.

Ditanya berkenaan kemahiran yang diperolehi yang menyertai kelab tersebut, Cikgu Khalifa yang juga Ketua Unit ICT KV Keningau berkata, pelbagai kemahiran yang boleh diperolehi.

“Antaranya kemahiran menyelenggara komputer, menyunting video dan teknik mengambil gambar menggunakan telefon pintar, photoshop, aplikasi grafik canva.com dan teknik green screen untuk menyunting video (komputer dan telefon).

Peserta mengikuti Kursus Pemasangan dan Penerbangan Dron untuk komuniti luar.

“Mereka juga berpeluang mengikuti bengkel-bengkel meningkatkan kemahiran ICT seperti aplikasi Microsoft Powerpoint, Excel, Focusky, bengkel Google Classroom, literasi komputer (cakna ICT), bengkel dron (menyelenggara, mereka cipta dan menerbangkan dron) dan bengkel robotik (memasang dan coding),” ujarnya.

Cikgu Khalifa (berdiri, lima dari kiri) berkongsi ilmu menerusi bengkel Google Form bersama peserta dari Unit Kosmetologi, KV Keningau.

Penerima Anugerah Komuniti untuk Kewarganegaraan (GESS Education Award, Dubai) 2020 itu berkata, kemahiran dalam ICT cukup luas dan masa kini, pelajar lebih banyak menggunakan telefon sebagai saluran pembelajaran.

“Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan hampir dua tahun sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Penerangan tentang teknik penerbangan dron yang digunakan untuk perlumbaan.

“Kerana itu, ahli Kelab Rekacipta Digital yang telah didedahkan pada peringkat awal tentang perkara ini, tidak lagi kekok.

"Misalnya aplikasi Google Classroom, Google Meet, Zoom, Microsoft Team, Telegram, Quizziz, Kahoot, Padlet dan macam-macam lagi. Ahli kelab sudah tahu bagaimana hendak menggunakannya, jadi proses PdPR mereka bersama guru tidak menjadi masalah,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Sambung beliau lagi, telefon pintar sangat penting waktu ini kerana ia memudahkan semua orang terutamanya guru dan pelajar dalam pencarian maklumat berkaitan pendidikan.

Sesi perbincangan berkumpulan ketika berlangsungnya bengkel mencipta video menggunakan smartphone.

“Ia juga menjadikan pembelajaran menyeronokkan melalui aplikasi dalam talian, memudahkan mereka berkomunikasi dengan guru dan dapat mendekati rakan-rakan seusia melalui media sosial Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok (dari sisi positif),” ujarnya.

Ibu bapa perlu kuasai ICT

Bukan sahaja nak-anak perlu menguasai dan mahir bidang ICT, ibu bapa juga tidak terkecuali perlu mengambil pendekatan untuk celik teknologi tersebut.

“Bila anak-anak pegang telefon, sekurang-kurangnya ibu bapa tahu apa yang sedang mereka buat.

“Ini kerana, masa pelajar sekarang lebih banyak kepada telefon seperti berkomunikasi dengan guru, menyiapkan kerja sekolah, kuiz, menonton YouTube dan lain-lain.

Penerangan tentang robotik semasa perjumpaan kelab.

“Bila ibu bapa sudah ada ilmu, secara tidak langsung memudahkan aktiviti digital anak sepanjang masa,” ujar finalis pertandingan Steam Master 2020 anjuran NAYTEA, China itu lagi.

Menurut penerima anugerah inovasi individu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Teknikal Vokasional (ACeTVET 2019) peringkat kebangsaan anjuran Bahagian Pendidikan, Latihan Teknik dan Vokasional pada 2020 itu lagi, ibu bapa yang berhadapan kesukaran menguasai teknologi boleh menghadiri pelbagai kursus secara maya.

“Mereka juga boleh belajar melalui YouTube, Telegram ataupun saluran lain.

Mencari laptop untuk pelajar kurang berkemampuan, hasil sumbangan koperasi PIBG KV Keningau.

“Boleh juga ikuti perkembangan ikon guru atau influencer digital di media sosial untuk info terkini atau minta tunjuk ajar daripada anak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Rekacipta Digital, Alesyah Asa, 19, berkata, sepanjang memegang jawatan itu, pelbagai kemahiran telah dia perolehi.

Alesyah (tengah) bersama ahli kelab untuk aktiviti Eureka Hub anjuran Kelab Rekacipta Digital.

Antaranya, mahir membina robot, membina sistem kod QR, menyunting video, drone player,  Google Drive, Microsoft Office, canva.com, Google Meet, Zoom, Google Form dan Telegram.

Merupakan pengerusi kelab yang pertama sejak ditubuhkan, Alesyah dapat membantu pelajar lain menambah pengetahuan dan kemahiran diri dalam ICT.

INFO

Tugas Penasihat Kelab

Memberi pembahagian tugas kepada guru penasihat yang lain.

Mengurus ahli kelab untuk kokurikulum sekolah.

Merancang aktiviti tahunan dan memantau aktiviti pelajar.

Membantu mencari dana kelab melalui geran-geran yang ditawarkan NGO berkaitan teknologi.

Memastikan ahli kelab (guru dan pelajar) sentiasa cakna ICT melalui kursus dalaman.

Aplikasi yang dikuasai ahli Kelab Rekacipta Digital

Google Classroom, Google Meet, Zoom dan Microsoft Team

Google Drive (Storan Fail)

Telegram, Quizziz, Kahoot dan Padlet

canva.com (grafik editing), InShot dan Filmora (mengedit video)

Artikel berkaitan 

Khalifa guru Malaysia pertama dinobatkan sebagai pemenang Global 2022 Cambridge Dedicated Teacher Awards

Guru dan pelajar, ini 6 tip kekal sihat di musim panas.

Ezzati Hanis, duta kecil Malaysia jadi inspirasi guru dan pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok