anna-dziubinska-mVhd5QVlDWw-unsplash (1)
anna-dziubinska-mVhd5QVlDWw-unsplash (1)

Konsep asas dalam perniagaan yang penting diketahui sebelum memulakan perniagaan sendiri

Mohd Khairi Mohamad Yusri
15 Dec 2021 02:50pm
A
A
A

Umat Islam sangat digalakkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam kehidupan mereka.

Di samping dapat menjana pendapatan untuk diri sendiri, aktiviti ini juga dapat menjana pekerjaan untuk masyarakat di sekeliling mereka.

Namun aktiviti ini juga sebenarnya sangat berisiko untuk mendapatkan kerugian, lebih-lebih lagi jika seseorang itu hanya terus terjun dalam bidang ini tanpa sebarang ilmu pengetahuan.

Oleh itu, amat penting bagi seseorang untuk mendalami ilmu-ilmu yang boleh membantu mereka mengemudi perniagaan kelak.

BACA JUGA: Hari Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan RISE tingkat motivasi para pelajar

BACA JUGA: Nak beli telefon ‘second-hand’ tapi takut ditipu? Baca tip ini dulu!

Dalam artikel kali ini, GPSBestari akan menyenaraikan konsep-konsep asas perniagaan yang merupakan perkara utama dan asas untuk membolehkan wujudnya proses urus niaga antara penjual dengan pembeli.

1. Barang dan Perkhidmatan

Secara umumnya, kombinasi barang dan perkhidmatan dikenali sebagai produk. Barang dan perkhidmatan ini disediakan dan ditawarkan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Barang ialah sesuatu yang mempunyai bentuk fizikal.

Barang merupakan objek yang dapat dilihat serta disentuh.

Perkhidmatan ialah aktiviti yang memberikan faedah kepada pengguna dan peniaga. Perkhidmatan tidak mempunyai bentuk fizikal secara khusus dan disalurkan terus kepada pengguna oleh peniaga yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

2. Memuaskan Keperluan dan Kehendak Pengguna

Keperluan ialah sesuatu yang diperlukan oleh manusia untuk meneruskan kehidupan. Keperluan adalah terhad dan mudah dipuaskan serta sama bagi semua individu.

Kehendak pula ialah keinginan manusia untuk hidup dengan lebih selesa. Kehendak tidak terhad dan sukar dipuaskan serta berbeza antara individu.

Peniaga perlu menawarkan barang dan perkhidmatan yang dapat memenuhi dan memuaskan keperluan dan kehendak manusia jika mereka mahu memajukan perniagaan.

3. Pertukaran Nilai

Pertukaran nilai merupakan aktiviti urus niaga yang melibatkan tindakan pembeli memberikan sesuatu yang bernilai (wang) kepada penjual sebagai balasan kepada produk yang diperoleh.

Urus niaga akan berlaku sekiranya wujud persetujuan antara penjual dengan pembeli tentang harga yang ditetapkan.

4. Keuntungan Perniagaan

Keuntungan ialah lebihan hasil jualan setelah ditolak semua kos yang terlibat. Contoh kos-kos yang terlibat ialah kos pengeluaran dan kos operasi.

Keuntungan = Jumlah jualan – Jumlah kos

Tahap keuntungan yang diperoleh sesebuah perniagaan boleh dijadikan petunjuk jika perniagaan itu berjaya dan mampu bersaing di pasaran. Pada masa yang sama, keuntungan akan melambangkan imej dan kecemerlangan sesebuah perniagaan.

Apabila sesebuah perniagaan telah berjaya memaksimumkan keuntungan seperti yang telah ditetapkan, perniagaan tersebut bertanggungjawab untuk menyumbang semula sebahagian daripada keuntungan kepada masyarakat setempat.

5. Penjual dan Pembeli

Penjual ialah individu yang menawarkan barang atau perkhidmatan. Pembeli pula ialah pihak yang memerlukan atau menghendaki barang atau

perkhidmatan tersebut. Peniaga dan pembeli melakukan urus niaga di pasaran.

Urus niaga berlaku apabila peniaga dan pembeli setuju dengan masa, harga, kuantiti serta tempat barang atau perkhidmatan tersebut dibekalkan.

6. Kontrak Perniagaan

Kontrak ialah perjanjian yang dimeterai oleh dua atau lebih individu. Pihak-pihak tersebut akan terikat secara sah kepada perjanjian yang telah dipersetujui.

Kontrak dikuatkuasakan melalui Akta Kontrak 1950. Contoh kontrak perniagaan ialah kontrak jual beli barang dan kontrak sewa beli. Kontrak perniagaan berperanan untuk melindungi pengguna dalam urusan perniagaan.

Semoga perkongsian ini dapat memacu dan meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Sumber: Buku teks Perniagaan Tingkatan 4

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok