KPM sahkan tiada isu diskriminasi dalam bengkel persedian peperiksaan SPM
Pendidikan adalah untuk semua, tanpa mengira kaum, agama mahupun bangsa dan Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum dan fahaman.
Perbezaan antara kita itulah mewujudkan sebuah penyatuan jitu yang tidak berbelah bahagi yang sukar dilihat berlaku di negara lain.
Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul isu yang kurang enak dikatakan berlaku di salah sebuah sekolah di Johor Bahru, Johor.
Sekolah berkenaan telah dikaitkan dengan isu diskriminasi ketika menganjurkan program Bengkel Persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membabitkan 30 orang pelajar.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan timbulnya isu ini melalui satu kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan.
Ulas KPM, bengkel tersebut dianjurkan atas usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PDD) Johor Bahru dan sesi tersebut diteruskan lagi dengan penganjuran bengkel berkenaan oleh sekolah hasil kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) dan Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
“Dari maklum balas yang diterima KPM dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, laporan awal mendapati bengkel peperiksaan tersebut adalah salah satu inisiatif untuk memastikan semua murid dapat melakukan persediaan menjelang peperiksaan SPM.
“Pada 19 dan 20 Januari lalu, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan di Hotel Suasana, Johor Bahru yang melibatkan 30 orang calon.
“Calon-calon ini adalah mereka yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta calong GALUS (gagal lulus) dalam beberapa subjek lain,” ulas KPM.
Tambah KPM, bengkel berkenaan dilakukan dengan mengasingkan mengikut siri bagi mengelakkan berlakunya gangguan kepada calon yang sedang membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.
“KPM difahamkan beberapa siri lagi bengkel berkenaan akan dijalankan pada 26 dan 27 Januari ini di lokasi yang sama.
“Hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang melibatkan pegangan agama yang berbeza seperti mana yang didakwa,” ulas KPM lanjut.
Kemahiran berkomunikasi antara pihak yang terlibat akan dipertingkatkan pada masa hadapan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
KPM sentiasa menekankan pendidikan itu adalah elemen yang merentas setiap kaum, agama dan bangsa.
Proses dan carta alir penganjuran program oleh pihak sekolah adalah antara aspek yang sentiasa dititikberatkan kementerian ini.
Untuk itu, KPM mohon kerjasama antara ibu-bapa dan masyarakat untuk terus hubungi KPM melalui platform rasmi jika terdapat sebarang isu atau masalah berkaitan murid-murid.
Artikel berkaitan
Pupuk semangat patriotik. Pendedahan bidang kepolisan pada peringkat sekolah menengah
KPM janji tambah baik proses pemberian wang bantuan ke sekolah
KPM tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutama terhadap murid sekolah