Jurulatih Kebangsaan, Shu Liang kongsi 7 tip gimnastik
Jurulatih Kebangsaan, Shu Liang kongsi 7 tip gimnastik

Jurulatih Kebangsaan, Shu Liang kongsi 7 tip gimnastik

Norliza Wasilan
01 Nov 2022 04:01pm
A
A
A

Pasti ramai yang mengikuti sukan gimnastik ini akan kagum dengan kemahiran dimiliki oleh atletnya.

Ini kerana mereka cukup terkenal dengan ketangkasan, kekuatan, imbangan badan dan fleksibiliti yang sinonim dengan gimnastik.

Justeru, peranan jurulatih amat penting untuk memastikan mereka menguasai kemahiran yang betul dan selamat sama ada ketika latihan ataupun sebagai persediaan menyertai pertandingan.

Menurut Jurulatih Gimnastik Artistik Lelaki Kebangsaan, Ng Shu Liang, 39, sebenarnya bukan mudah untuk bergelar gimnas kerana mereka perlu memiliki daya fokus yang tinggi.

Justeru, beliau yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang kejurulatihan berkata, latihan secara konsisten dan semangat untuk memperbaiki setiap kelemahan akan membantu seseorang itu mencapai sasaran yang diingininya.

“Latihan secara berulang-ulang dan konsisten akan membantu meningkatkan kecekapan kerana badan serta fikiran mereka sudah tahu bagaimana untuk membuat gerakan dari awal sehingga akhir persembahan.

“Semua ini datang daripada latihan, setiap hari anda perlu bertanya dalam diri, apakah tujuan datang latihan dan sasarannya, jika ada sasaran yang jelas maka mudah untuk mencapainya.

“Selalu saya akan beri tempoh untuk mereka buktikan, jika tidak berjaya, saya akan tanya kenapa, perkara ini sangat penting kerana tanpa sasaran anda pasti akan ketinggalan,” ujarnya yang berasal dari Taiping, Perak.

Selain itu, Shu Liang yang bersara sebagai gimnas ketika berusia 18 tahun turut memaklumkan kesempurnaan dalam persembahan amat penting.

Namun begitu, ujarnya, tekanan tidak seharusnya diberi kepada atlet setiap kali mereka bertanding.

“Kita tidak akan sempurna setiap hari, perkara seperti ini bukanlah disengajakan, kadangkala ketika berlatih kita sudah lakukan yang terbaik tetapi tidak pada waktu pertandingan.

“Mereka pun tidak mahu perkara itu berlaku, kita perlu terima dan tengok semula untuk memperbaikinya,” tuturnya.

Sehubungan itu, Shu Liang turut berkongsi tujuh tip untuk berjaya dalam sukan gimnastik untuk pembaca Sinar Bestari.

1) Kepintaran

Untuk menjadi gimnas, seseorang itu perlu memiliki kepintaran, tubuh, kekuatan fizikal dan fleksibiliti badan yang cukup baik. Gimnas juga perlu berlatih secara konsisten bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran yang perlu ada sebagai atlet.

2) Semangat

Anda harus mempunyai semangat tinggi untuk bersaing, tanpa perkara ini maka agak sukar untuk berjaya seterusnya menyaingi pihak lawan. Selain itu, ketika sesi latihan, anda harus berikan yang terbaik dan perlu sentiasa belajar memperbaiki kelemahan

3) Capai impian

Anda perlu mempunyai impian, contohnya, saya mahu menang pingat emas. Oleh itu, anda harus mengejar sasaran itu dengan cara menjalani sesi latihan secara berterusan sebagai persediaan untuk meningkatkan kualiti persembahan.

4) Kekuatan mental

Jangan mudah mengalah. Ungkapan ini cukup penting untuk menjadi gimnas sama ada yang baru berjinak-jinak mahu pun sudah tertaraf atlet senior.

Ini kerana gimnastik adalah sukan yang amat sukar dan memerlukan latihan secara konsisten.

Sukan ini turut terdedah dengan risiko kecederaan sehingga ada atlet terpaksa berlatih dalam keadaan kesakitan yang kebanyakan orang tidak pun menyedarinya.

Selain itu, ketika membuat persembahan, gimnas harus mempunyai daya tumpuan yang tinggi kerana sedikit kesilapan pasti akan mengundang kecederaan memandangkan mereka perlu melakukan gerakan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Persediaan rapi juga amat penting terutama ketika menghadapi pertandingan kerana ia akan menentukan sejauh mana kejayaan yang akan dicapai.

5) Perbaiki kelemahan

Setiap kali menjalani latihan, perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa harus datang, untuk apa dan sasaran dimahukan. Gimnas juga perlu tanamkan dalam diri untuk sentiasa meningkatkan kualiti persembahan.

6) Umur

Sukan ini cukup menarik kerana ia boleh dimulakan seawal usia 5 hingga 7 tahun yang dianggap sebagai golden age. Kategori umur seperti itu amat sesuai didedahkan dengan latihan asas dan menyeronokkan.

7) Analisis rakaman

Bagi memperbaiki kelemahan, anda boleh melihat semula rakaman video persembahan yang dilakukan dan menganalisisnya.

Menerusi cara itu, sudah tentu kelemahan yang ada dapat dikenal pasti seterusnya memudahkan usaha untuk memperbaikinya.

Artikel berkaitan

Maia Ong kini berguru dengan atlet gimrama negara, Durratun Nashihin

10 aplikasi menarik sebagai panduan peminat gimnastik

Kecemerlangan SMK Bandar Utama Damansara 3 berjaya lahirkan atlet bertaraf dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan