Untitled design (46)
Untitled design (46)

Vicky Tiong diangkat Pelajar Terbaik program Pembelajaran Kreatif Pelajar Score A

Azleenda Sahaludin
28 Dec 2022 06:43pm
A
A
A

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu, Sarawak, Vicky Tiong Ing Ong telah muncul sebagai Pelajar Terbaik bagi kategori sekolah menengah dalam program Pembelajaran Kreatif Pelajar Score A anjuran Faber-Castell, baru-baru ini.

Program tersebut yang merupakan pertandingan peringkat kebangsaan membolehkan para pelajar terpilih mempamerkan teknik yang diajar oleh guru-guru mereka yang telah menyertai Program Pembelajaran Kreatif, Edisi Guru oleh Score A.

Menurut Vicky Tiong, dia tidak menyangka terpilih sebagai menerima anugerah tersebut memandangkan ia adalah satu pertandingan yang besar dan melibatkan lebih 1,200 pelajar dari 185 sekolah seluruh negara.

“Saya menganggap pertandingan ini ibarat satu peperiksaan dan ia telah mendorong saya mengulang kaji dengan bersungguh-sungguh walapun ketika berada dalam kapal terbang.

“Saya juga menikmati proses mengambil nota dan video mengenai topik pembelajaran saya di sekolah untuk dijadikan bahan pembentangan.

“Malah saya juga teruja kerana dapat mengubah pembelajaran menjadi satu perkara yang menarik dan menyeronokkan,” katanya.

Pertandingan itu yang telah bermula September lalu mempamerkan persaingan melalui empat misi utama berdasarkan skor penilaian dalam talian serta aplikasi teknik melalui pengambilan nota kreatif dan ia terbahagi kepada dua kategori iaitu sekolah rendah serta menengah.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Faber-Castell, Andrew Woon memberitahu, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya bagi membantu meningkatkan cara pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Katanya, tujuan utama program berkenaan adalah untuk menjadikan pembelajaran sebagai satu pengalaman yang penuh dengan keseronokan, penerokaan dan berwawasan menerusi penggunaan warna dan peta minda.

“Kami berbangga dan kagum melihat pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar sepanjang pertandingan ini berlangsung.

“Selain itu, kami turut berharap pelajar dapat membawa teknik dan kemahiran yang dilakukan semasa pertandingan ini di dalam bilik darjah serta mempamerkan prestasi yang lebih baik di sekolah,” ujarnya.

Artikel berkaitan

SMK Taman Ria Jaya Kedah juara pertandingan melukis mural

Tiga beradik lakar kejayaan mewakili Malaysia untuk Pertandingan Eurasian Spelling Bee di Poland

Etika anjur pertandingan galakkan aktiviti kitar semula


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok