Dr Salehatul Khuzaimah turut bergiat aktif memberi ceramah pendidikan berkaitan penjagaan dan kesihatan haiwan.
Dr Salehatul Khuzaimah turut bergiat aktif memberi ceramah pendidikan berkaitan penjagaan dan kesihatan haiwan.

Bukan sekadar beri makan, minum kepada haiwan peliharaan

Tidak dapat berbuat apa-apa ketika kucing peliharaan sakit merupakan detik perubahan dalam hidup Doktor Perubatan Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali.

01 Feb 2023 12:46am
A
A
A

Tidak dapat berbuat apa-apa ketika kucing peliharaan sakit merupakan detik perubahan dalam hidup Doktor Perubatan Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali.

Pengalaman tersebut menjentik hati wanita berkenaan menceburi bidang veterinar untuk membantu haiwan-haiwan yang tidak boleh 'bersuara' meminta pertolongan apabila berdepan kesakitan.

Graduan jurusan Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberitahu, insiden berkenaan berlaku ketika dia berusia belasan tahun dan tidak mampu berbuat apa-apa terhadap haiwan peliharaan kesayangan.

“Selepas kejadian tersebut, saya membulatkan hati untuk menceburi bidang veterinar kerana ingin menyelamatkan haiwan-haiwan apabila ia sakit.

“Selain itu, bidang verterinar juga membuka peluang kepada saya untuk memberi pendedahan dan pendidikan berhubung penjagaan serta kesihatan haiwan peliharaan kepada khalayak umum,” katanya.

Dr Salehatul Khuzaimah
Dr Salehatul Khuzaimah

Berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang veterinar, beliau menegaskan, memiliki haiwan peliharaan bukan bermakna memberi makan dan minuman sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kata pemilik Klinik dan Surgeri Vertinar Serv-U dan Trio Veteri-nary itu, terdapat lima hak kebebasan haiwan yang perlu diberi perhatian pemilik-pemilik haiwan peliharaan.

“Lima kebebasan tersebut ialah bebas daripada lapar dan dahaga; bebas daripada ketidakselesaan; bebas daripada kesakitan, kecederaan atau penyakit; bebas melakukan dan menunjukkan sifat semula jadi serta bebas daripada ketakutan dan stres.

“Jika dapat memenuhi hak kebebasan berkenaan, para pemilik haiwan peliharaan boleh dikatakan berjaya dalam memelihara haiwan mereka,” ujarnya.

Selain bergelar doktor veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah turut bergiat aktif memberi ceramah pendidikan kepada tadika, sekolah, universiti, organisasi kecil dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengendalian, penjagaan serta penyakit haiwan peliharaan.

Ahli Persatuan Patologi Veterinar Malaysia (MAVP) itu juga sering menyentuh mengenai situasi semasa dalam bidang veterinar dan cabaran sebagai doktor haiwan di negara ini ketika mengendalikan ceramah.

Kali ini, Dr Salehatul Khuzaimah berkongsi lima kemahiran yang perlu dimiliki pemilik haiwan peliharaan bersama pembaca.

1. Tingkah laku

Pemilik haiwan terutama kucing dan anjing perlu memiliki kemahiran dan kepekaan dalam mengenali tingkah laku haiwan peliharaan mereka.

Kepekaan perubahan yang berlaku pada haiwan-haiwan tersebut amat penting agar dapat mengenal pasti jika ia menghidap sebarang penyakit.

Sebagai contoh, kebiasaannya apabila kucing atau anjing yang aktif tiba-tiba menjadi pendiam dan murung kemungkinan besar ia sedang sakit.

Keadaan kucing atau anjing yang hilang selera makan juga merupakan antara tanda ia sakit dan memerlukan rawatan segera.

Bahkan, pemilik kucing perlu lebih peka kerana haiwan berkenaan bijak menyembunyikan sakit.

Pada bahagian luaran, ia kelihatan normal tetapi dalaman, kucing berkenaan cuba menahan kesakitan daripada dikesan pemiliknya.

2. Keselesaan

Haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing memerlukan ruang tempat tinggal yang selesa.

Justeru, pemilik haiwan peliharaan perlu menyediakan tempat tinggal yang selesa sekali gus dapat mengelak bahaya kepada haiwan terbabit.

Anjing dan kucing merupakan haiwan yang sangat aktif. Ia memerlukan sangkar yang besar bagi memudahkan pergerakan dan regangan otot-otot.

Selain itu, pemilik anjing juga perlu memastikan membawa haiwan itu berjalan-jalan kerana ia memerlukan senaman untuk melepaskan tenaga.

Anjing kemungkinan akan bertindak agresif jika tidak dapat melepaskan tenaga seperti merosakkan harta benda, jadi pemarah, mengigit orang dan lain-lain.

3. Kawalan

Keupayaan mengawal haiwan peliharaan merupakan antara perkara penting yang perlu diketahui pemilik.

Ia berikutan kuantiti yang kecil memberi peluang kepada pemilik untuk memelihara haiwan berkenaan dengan lebih berkualiti.

Salah satu pendekatan yang boleh dilakukan dalam kawalan haiwan peliharaan adalah memandulkan kucing dan anjing itu.

Jika tidak mengawal dan melakukan praktis pemandulan, kemungkinan besar pemilik akan berdepan masalah lambakan haiwan peliharaan sehingga tidak mampu memelihara lagi.

Senario tersebut akan mengakibatkan haiwan tersebut dibiarkan di kedai-kedai, klinik-klinik, pasar dan sebagainya kerana beranggapan ia boleh mencari makanan di luar.

Bagaimanapun, tindakan terbabit boleh menyumbang kepada lambakan populasi haiwan jalanan yang memberi kesan negatif termasuk penganiayaan, penyakit dan pencemaran terutama apabila orang ramai memberi makanan.

4. Kesihatan

Dari segi kesihatan pula, pemilik haiwan peliharaan perlu mengetahui rawatan pencegahan penyakit.

Sebagai contoh, suntikan vaksin boleh mengelak haiwan-haiwan peliharaan berdepan penyakit berjangkit. Apabila menyedari haiwan peliharaan sakit, mesti dibawa berjumpa doktor perubatan veterinar.

Jangan sesekali melakukan rawatan sendiri kerana ia akan merosakkan organ dalaman haiwan itu seperti buah pinggang, hati dan sebagainya sekali gus mengakibatkan kos rawatan lebih tinggi.

5. Pemakanan

Tidak boleh beri makan sesuka hati kepada haiwan peliharaan. Justeru, para pemilik haiwan peliharaan perlu memiliki ilmu tentang pemakanan haiwan yang dibela.

Setiap spesies haiwan memerlukan makanan yang seimbang dan nutrisi tersendiri dalam memastikan berada dalam keadaan sihat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok