Ipoh muncul bandar paling murah untuk persekolahan antarabangsa di Asia

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
02 Feb 2023 08:59am
A
A
A

Selain tarikan alam sekitar dan bagunan-bagunan bersejarah yang megah berdiri di tengah kota, Ipoh sekali lagi menarik perhatian dunia tapi kali ini di dalam bidang pendidikan

Ibu negeri Perak Darul Ridzuan itu mendapat gelaran bandar paling murah di Asia dan dunia bagi persekolahan antarabangsa pada 2022, menurut kajian yang dikeluarkan Pangkalan Data Sekolah Antarabangsa (ISD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kajian sama, China terus mendominasi sebagai negara paling mahal di Asia untuk sekolah antarabangsa.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, buat pertama kalinya Ipoh tersenarai dalam pangkalan data tersebut bersama 19 bandar lain.

Ujarnya, kos bagi sekolah antarabangsa di Ipoh adalah antara RM9,879 (AS$2,316) hingga RM13,074 (AS$3,065) setahun berbanding bandar paling mahal di Asia iaitu Beijing yang berjulat RM42,658 (AS$10,000) hingga hampir RM170,632 (AS$40,000) setahun.

“Ipoh adalah bandar baharu yang dimasukkan dalam kajian ISD dan telah diberi gelaran bandar persekolahan paling murah di Asia sementara ibu negara Kemboja, Phnom Penh di tempat kedua dengan kos terendah.

“16 daripada 20 bandar yang termasuk dalam kajian ini mempunyai harga RM63,987 (AS$15,000) setahun iaitu Taipei (Taiwan); Yangon (Myanmar); Bangkok (Thailand); Kyoto-Osaka-Kobe (Jepun); Pattaya, Chiang Mai, Phuket (Thailand); Manila (Filipina); Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur (Malaysia); Bali (Indonesia) dan Phnom Penh (Kemboja),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rumaizi, Malaysia dan Thailand merupakan negara paling berpatutan apabila melibatkan kos pendidikan antarabangsa di Asia.

Ujarnya, tiga bandar iaitu Pattaya, Chiang Mai dan Phuket di Thailand serta empat bandar di Malaysia iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh termasuk dalam 10 lokasi paling murah di benua Asia.

Artikel Berkaitan:


Tambah beliau, untuk peringkat global bandar New York di Amerika Syarikat kekal sebagai bandar paling mahal dalam kajian berkenaan.

“Malah bandar itu lebih mahal sejak 2021 dengan harga maksimum mendahului RM255,948 (AS$60,000) setahun buat kali pertama,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok