Kos sara hidup tinggi, berhemah perbelanjaan sekolah
Imbangi keperluan, kehendak dalam berbelanja
Ibu bapa memerlukan perancangan perbelanjaan lebih berhemah dalam pembelian kelengkapan sekolah anak-anak apatah lagi apabila berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Mereka perlu mengimbangi keperluan dan kehendak agar tidak berdepan masalah kewangan selepas pembukaan sekolah sesi 2023/2024.
Norimran Mohd Ihsan yang mempunyai tiga anak di sekolah menengah, manakala seorang lagi bakal memasuki tadika menggunakan pendekatan tersendiri dalam perancangan kewangan pembelian kelengkapan sekolah.
Pekerja swasta berusia 41 tahun itu memberitahu, dia akan menabung pada awal tahun untuk memenuhi kuota perbelanjaan anak-anak agar tidak berdepan masalah.
“Saya memperuntukkan kira-kira RM600 seorang untuk perbelanjaan kelengkapan sekolah bagi tiga anak yang masih berada di sekolah menengah.
“Perbelanjaan tersebut merangkumi tiga pasang baju dan dua pasang kasut sekolah; beg sekolah serta peralatan tulis untuk memberi keselesaan kepada mereka apabila belajar nanti,” ujarnya.
PromosiBagaimanapun, Norimran memberitahu, dia sentiasa membuat perbandingan setiap promosi kelengkapan sekolah untuk mendapatkan produk pada harga terbaik.
Katanya, perbandingan berkenaan bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan malah dapat mengurangkan bajet yang diperuntukkan dalam pembelian barang-barang.
“Saya akan membeli sekali sahaja kelengkapan sekolah kecuali kasut atau baju terkoyak dan sebagainya.
“Sebagai contoh, jika kita bijak membuat perbandingan boleh mendapat dua pasang kasut pada harga kurang daripada RM80.
“Ia sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan kerana perlu memikirkan pembelian buku dan yuran lain,” tuturnya lagi.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu memberitahu, dia juga perlu mengeluarkan perbelanjaan yang agak tinggi untuk persiapan anak memasuki tadika tahun ini.
Katanya, kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, baju senaman, yuran dan lain-lain mencecah ribuan ringgit.
“Saya ingin mendaftar anak di tadika kerajaan tetapi tidak layak.
“Justeru, perancangan kewangan amat penting menjelang sesi persekolahan baharu ini kerana kita juga akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Bantuan kewangan
Dalam pada itu, ibu kepada dua murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Maizul Anita Mat Yassin berkata, dia sangat bersyukur apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
“Bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak saya.
“Secara kasar, perbelanjaan persekolahan melibatkan baju, seluar dan kasut sekolah serta kelengkapan lain dianggarkan kira-kira RM150 hingga RM200 seorang,” ujarnya.
Suri rumah berusia 43 tahun itu memberitahu, dia turut menerima sumbangan program Back to School baru-baru ini sebanyak RM240.
Katanya, dia perlu mengurus sumbangan berkenaan dengan baik mengikut keperluan anak-anak agar tidak berbelanja berlebihan.
Program CSRSementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Rahana Abdullah berkata, tahun ini anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) itu telah melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Selama dua tahun, program-program CSR tergendala berikutan penularan wabak Covid-19. Justeru, KHSB ingin melaksanakan semula program berkenaan agar dapat menyumbang kepada masyarakat.
“Tahun ini, kita telah melaksanakan beberapa program termasuk Back to School bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam, Seksyen 16, Selangor, melibatkan 250 murid-murid.
“Ia bagi meringankan beban ibu bapa daripada golongan memerlukan termasuk B40 dalam pembelian keperluan persekolahan untuk memasuki sesi persekolahan baharu kelak,” katanya.
Rahana menjelaskan, KHSB agak selektif dalam melaksanakan program-program CSR kerana terdapat kekangan dana.
Selain program Back to School, dia memberitahu, pihaknya turut meningkatkan perkhidmatan internet di SK Putrajaya P11 (2), Putrajaya untuk memberi akses digital lebih pantas kepada guru-guru dan murid-murid.
“Prasarana digital ini sangat penting dalam membantu memudahkan guru melaksanakan tugas mereka terutama apabila ingin mengajar anak-anak murid.
“Selain itu, kita juga memberi sumbangan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Kasih Templer (Autisma), Batu Caves, Selangor, untuk membantu golongan autisma,” tuturnya.
Dia menambah, program-program CSR KHSB yang dilaksanakan memberi penekanan kepada pendidikan, alam sekitar dan kesihatan.
Rahana berharap lebih banyak program-program dapat direalisasikan sehingga hujung tahun ini dalam memberi semula kepada masyarakat.
Anggaran perbelanjaan baju seragam sekolah
Pelajar lelaki sekolah menengah
Kemeja (lengan pendek) RM22.90 - RM34.90
Kemeja (lengan panjang) RM32.00 - RM46.90
Seluar panjang RM30.90 - RM74.90
Seluar pendek RM30.00 - RM54.00
Pelajar perempuan sekolah menengah
Kemeja (lengan panjang) RM32.00 - RM49.90
Skirt panjang RM24.50 - RM49.90
Baju kurung (baju sahaja) RM24.90 - RM49.90
Pinafore RM32.00 - RM49.00
Blouse RM22.90 - RM29.90
Tudung RM10.90 - RM27.90
Anak tudung RM5.00
Pelajar lelaki sekolah rendah
Kemeja (lengan pendek) RM15.90 - RM28.90
Kemeja (lengan panjang) RM21.90 - RM41.90
Seluar panjang RM30.90 - RM70.00
Seluar pendek RM16.90 - RM38.00
Pelajar perempuan sekolah rendah
Kemeja (lengan panjang) RM32.00 - RM49.90
Skirt panjang RM15.90 - RM38.50
Baju kurung (baju sahaja) RM16.90 - RM45.00
Pinafore RM20.00 - RM42.00
Blouse RM18.50 - RM27.00
Tudung RM10.90 - RM27.90
Anak tudung RM5.00
Kasut sekolah (unisex) RM19.00 - RM70.00