Tip keselamatan musim banjir, ini perkara yang wajib anda beri perhatian!
Situasi banjir di beberapa buah negeri seperti Johor semakin buruk ekoran keadaan hujan lebat yang berterusan berserta fenomena air pasang.
Sebuah portal tempatan melaporkan, Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan 7,272 mangsa daripada 2,050 keluarga telah ditempatkan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam keadaan ini, Sinar Bestari yakin mangsa banjir berdepan trauma mengenang kejadian menimpa.
Lebih memilukan, dokumen peribadi dan barangan perabot seperti almari, meja, sofa serta barangan elektrik rosak dan terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan.
Begitulah yang akan terjadi sekiranya banjir berlaku. Kepada mangsa banjir, di harap bersabar dan doakan banjir cepat surut dalam masa terdekat.
Sementara itu, berhubung keselamatan ketika musim banjir, Sinar Bestari ingin kongsikan 14 tip penting untuk guru, ibu bapa dan pelajar ambil perhatian.
Senarai yang diberikan adalah persediaan jika lokasi anda berisiko tinggi untuk banjir. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.
1) Dengar pengumuman melalui media massa atau tunggu arahan.
2) Bersedia dengan beg kecemasan.
3) Simpan dokumen penting di tempat selamat atau bawa bersama ke PPS.
4) Tutup semua suis utama elektrik, injap utama bekalan air dan gas sebelum meninggalkan rumah.
5) Segera berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan.
6) Berpindah awal sebelum keadaan banjir lebih buruk dan sebelum akses terputus oleh air yang semakin meningkat.
7) Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.
8) Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
9) Jangan biarkan kanak-kanak bermain air di kawasan banjir, longkang, lombong, tali air dan sungai.
10) Jangan berenang atau berjalan melalui air yang deras. Air banjir yang bergerak melebihi paras lutut boleh membuat anda jatuh.
11) Sekiranya terpaksa berjalan kaki di dalam air banjir, gunakan kayu untuk memeriksa keadaan tanah di hadapan anda.
12) Jangan sentuh peralatan elektrik, kabel atau wayar.
13) Jangan cuba hidupkan peralatan elektrik yang terendam dalam banjir.
14) Bawa peralatan elektrik yang terjejas untuk pembersihan, pemeriksaan dan pembaikkan (jika perlu) oleh juruteknik di kedai peralatan elektrik.