Cuaca panas boleh menyebabkan haiwan seperti ular keluar daripada habitatnya.
Kredit foto: Pexels.
Cuaca panas boleh menyebabkan haiwan seperti ular keluar daripada habitatnya. Kredit foto: Pexels.

5 langkah awal sekiranya dipatuk ular

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
27 Apr 2023 03:37pm

Cuaca panas dan bahang sejak akhir-akhir ini menyebabkan ramai yang berasa tidak selesa termasuklah haiwan terutamanya ular.

Ini kerana ular merupakan spesis haiwan berdarah sejuk yang akan keluar daripada habitat asal bagi mencari kawasan lebih lembap untuk berlindung dan mempunyai sumber makanan yang banyak.

Jadi tidak hairanlah sekiranya semasa cuaca panas ini acap kali terjumpa haiwan itu berlingkar di dalam kawasan rumah seperti saluran paip air dan longkang.

Seperti tahun-tahun sebelum ini telah banyak kes yang dilaporkan berkaitan ular menyelinap masuk ke dalam kediaman ketika musim panas.

Disebabkan kekerapan bersemuka dengan ular di kediaman agak tinggi terutamanya ketika cuaca panas, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

Malah orang ramai seperti ibu bapa atau guru juga dinasihatkan untuk tidak memukul ular khususnya spesis yang berbisa dengan sesuka hati kerana ia boleh mengundang maut atau kecederaan berpanjangan sekiranya dibiarkan.

Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

Artikel Berkaitan:

Namun sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan antaranya dipatuk ular, terdapat lima langkah awal yang boleh dilakukan sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.

Jom baca.

1) Hadkan pergerakan

Mereka yang terkena patukan ular hendaklah mengehadkan pergerakan bagi memperlahankan bisa masuk ke dalam tubuh badan. Ini kerana bisa daripada ular tidak akan terus masuk ke dalam tubuh badan sebaliknya akan melalui sistem limfa terlebih dahulu iaitu cecair yang mengandungi sel darah putih. Sekiranya banyak bergerak ia akan mengundang risiko bisa merebak dengan lebih cepat.

2) Jangan menyedut kembali tempat dipatuk

Jangan terpengaruh dengan adegan yang menunjukkan perbuatan menyedut tempat dipatuk di dalam televisyen kerana ia hanya mendatangkan kemudaratan berbanding manfaat. Selain itu, jangan sesekali basuh kawasan yang dipatuk atau digigit kerana perbuatan itu akan membuat sisa bisa pada permukaan kulit hilang sekali gus menyukarkan pakar di hospital memberikan rawatan yang sesuai.

3) Tekan luka patukan dengan kain bersih (jika berdarah)

Beri tekanan pada bahagian yang dipatuk dengan mengikat atau membalut dengan ketat. Ini akan membantu memperlahankan bisa daripada memasuki sistem limfa.

4) Kenal pasti jenis ular

Amat penting untuk mengenal pasti jenis ular yang mematuk bagi membantu pakar atau doktor mengenal pasti jenis ubat atau rawatan yang perlu digunakan.

5) Dapatkan bantuan kecemasan

Segera dapatkan bantuan kecemasan sekiranya berdepan dengan situasi dipatuk ular memandangkan haiwan itu sangat bahaya dan mungkin berbisa yang boleh mengundang maut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp