ANGKASA tawar RM52,800 untuk kelestarian alam

AZLEENDA SAHALUDIN
07 Aug 2023 05:23pm
A
A
A

Kemerosotan mutu alam sekitar hari ini dilihat semakin meruncing akibat daripada campur tangan keterlaluan manusia dalam mengubah persekitaran semula jadi sehingga ia boleh mengganggu kelestarian dan kesejahteraan alam.

Justeru, pendedahan dan pendidikan untuk melindungi khazanah terutamanya pokok-pokok di negara ini perlu diberikan seawal di peringkat sekolah.

Bukan itu sahaja, usaha untuk mewujudkan pelbagai program melibatkan penanaman semula pokok-pokok juga dapat membantu mengurangkan kesan pemanasan global yang semakin hari semakin membimbangkan selain dapat menstabilkan ekosistem persekitaran.

Melihat kepada kepentingan tersebut, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah menganjurkan Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan bagi mencapai objektif penanaman sejuta pokok oleh gerakan koperasi di seluruh negara.

Menurut Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Co-operative Alliance - Asia Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, program itu dibuat bagi memberi impak luas dan positif tentang penjagaan alam sekitar di samping meningkatkan kesedaran serta kesungguhan mendepani cabaran mengekalkan kelestarian alam.

“Saya yakin dan percaya anggota koperasi sekolah mampu menyahut cabaran untuk menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok.

“Sekiranya kempen 1 koperator 1 Pokok menerusi pertandingan ini dilaksanakan oleh anggota koperasi sekolah, maka kita akan dapat mencapai penanaman sejuta pokok tahun ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor pada Sabtu.

Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah adalah satu usaha kolaboratif yang melibatkan pelbagai pihak serta didukung oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensinya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, usaha ini turut disokong Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Pendidikan (KPM); Majlis Amanah Rakyat (MARA); Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia; Jabatan Perhutanan Negeri; Universiti Putra Malaysia (UPM); Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM); radio IKIM; Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Malaysia Forest Fund.

//Melalui pertandingan ini juga, ANGKASA menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM52,800 beserta sijil peringkat kebangsaan dan sijil pencapaian kepada pemenang Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Negeri (Kategori Sekolah), Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Sekolah) dan Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Pelajar).

Pertandingan tersebut telah bermula 15 Jun lalu sehingga 15 Oktober depan yang terbuka kepada semua koperasi sekolah ahli ANGKASA seluruh negara dengan menanam pokok selain perlu memastikan pokok yang ditanam selaras dengan definisi yang digariskan oleh agenda Penghijauan Malaysia iaitu semua jenis pokok tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun.

Untuk itu, koperasi sekolah yang berminat boleh memuat turun aplikasi Penghijauan Malaysia secara percuma di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk mendaftar atau melalui laman sesawang 100jutapokok.gov.my serta daftar menerusi borang dalam talian (Google Form).

Untuk maklumat lanjut berkenaan terma dan syarat pertandingan dan pautan e-borang penyertaan, peserta boleh melayari laman sesawang www.sejutapokok.coop atau www.angkasa.coop atau Facebook: @SejutaPokok / @ANGKASACoop.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok