Dalam memastikan kempen dan amalan kitar semula diperkukuhkan, perlu wujudnya kesepakatan dinamik semua pihak. Gambar kecil: Amy Azurin.
Dalam memastikan kempen dan amalan kitar semula diperkukuhkan, perlu wujudnya kesepakatan dinamik semua pihak. Gambar kecil: Amy Azurin.

Amalan kitar semula pacu masa depan harmoni

AMY AZURIN AZMAN DAN SITI DALEELA MOHD WAHID
20 Jan 2024 09:10am
A
A
A

Amalan kitar semula seakan dilupakan dek kerana kepesatan aktiviti pembangunan dan kecanggihan teknologi.

Propaganda konsep 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle juga dilihat semakin dipinggirkan pada ketika ini.

Laporan yang dikeluarkan Pusat Kajian Alam Sekitar dan Kebangsaan (NECC) pada tahun 2022 memperlihatkan Malaysia mempunyai kadar penghasilan sisa pepejal domestik hampir 40,000 tan setiap hari dan dijangka meningkat 1.5 kali ganda pada 2050.

Masalah ini sangat kritikal kerana banyak sisa pepejal domestik tidak diurus dengan cara betul sekali gus mengakibatkan kelestarian alam sukar untuk dipertahankan dan tahap kesihatan masyarakat juga akan terjejas.

Walaupun Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah dikuatkuasakan pada 1 September 2015, namun masih ramai masyarakat tidak cakna dengan kewujudan akta tersebut.

Pada hemat saya, amalan dan kempen kitar semula bahan buangan boleh dianggap gagal kerana beberapa isu belum diselesaikan.

Dalam memastikan kempen dan amalan kitar semula diperkukuhkan, perlu wujudnya kesepakatan dinamik semua pihak.

Pertama, masyarakat sendiri perlu sedar dan cakna tentang signifikan kitar semula.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, memulakan amalan mengasingkan sisa makanan dan barang buangan rumah yang boleh dikitar semula mengikut plastik dan tong sampah berbeza warna. Kesedaran ini boleh dimulakan dari rumah supaya anak-anak menjadikannya sebagai aktiviti rutin mereka.

Kedua, pihak berautoriti perlu memperketatkan pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang untuk sebarang aktiviti haram.

Selain itu, penyediaan infrastuktur yang mencukupi untuk kemudahan masyarakat seperti tong sampah berbeza warna dan tempat pengumpulan sisa kitar semula perlu disediakan.

Mungkin juga boleh dicadangkan agar memperbanyakkan lagi tempat pengumpulan sisa buangan di sesetengah kawasan dalam usaha memelihara alam sekitar.

Kita patut berbangga Malaysia mempunyai kekayaan alam sekitar yang tinggi.

Kejayaan dalam kempen kitar semula akan membawa impak positif kepada alam sekitar dan menjaga kelestariannya untuk generasi akan datang.

Oleh itu, kerjasama semua pihak amat penting untuk memperbaiki pengurusan sisa domestik dan mencapai sasaran kitar semula.

Marilah kita bersama-sama memelihara alam sekitar ini dengan melakukan amalan kitar semula sebagai pengukur untuk mencapai kesejahteraan masa hadapan.

Jadilah manusia bertanggungjawab demi tanah air tercinta ini.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Amy Azurin Azman dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok