Dengan aplikasi Google Earth ini pelajar dapat melihat sendiri bagaimana keadaan bentuk muka bumi luar negara tanpa perlu pergi ke sana.
Dengan aplikasi Google Earth ini pelajar dapat melihat sendiri bagaimana keadaan bentuk muka bumi luar negara tanpa perlu pergi ke sana.

Aplikasi Google Earth cipta keseronokan pendidikan digital

19 Apr 2024 01:27pm

Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 28 November 2023, menggariskan beberapa objektif seperti melahirkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital.

Diikuti dengan objektif kedua, mengupayakan pendidik, pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.

Objektif ketiga pula memperkukuhkan infrastuktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital serta mengoptimumkan pelibatan aktif rakan startegik sebagai pemangkin digital (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2023).

Selari dengan DPD yang diperkenalkan, guru mengambil inisiatif menggunakan aplikasi Google Earth dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Kimia serta Sains.

Google Earth merupakan satu aplikasi komputer diibaratkan sebuah glob yang sangat terperinci, selain menggunakan perwakilan 3 dimensi (3D) berdasarkan imej satelit.

Dengan menggunakan aplikasi ini, murid seperti dibawa mengembara secara maya ke sesuatu tempat yang berkaitan dengan subjek Kimia dan Sains.

Malah, penggunaan Google Earth sinonim dengan subjek Geografi atau Sejarah kerana melaluinya kita dapat melihat bentuk muka bumi atau tempat-tempat bersejarah, selain menggunakan simulasi kapal terbang yang turut dimuatkan dalam aplikasi ini.

Selain itu, penggunaan Google Street View merupakan salah satu fungsi yang menarik dalam aplikasi ini, di mana kita dapat melihat dengan jelas pemandangan di sepanjang jalan yang terlibat.

Di sini, jelas menunjukkan penggunaan Google Earth dalam subjek khususnya Kimia dan Sains merupakan salah satu kaedah bagi menarik minat murid melalui hubung kait tempat yang ditunjukkan dengan kandungan subjek-subjek itu.

Artikel Berkaitan:


Contohnya, semasa mengajar tajuk Kimia Tingkatan Empat, Bab 6 subtopik Garam, guru memberitahu murid bahawa guru akan membawa murid ke salah satu lokasi bernama Monte Kali di Jerman, di mana tempat ini merupakan bukit garam setinggi 250 meter.

Guru mula bertanya kepada murid nama garam yang membentuk Monte Kali.

Guru mengaitkan dengan pengetahuan murid bahawa natrium klorida ialah garam terlarutkan dan apakah kesan kepada kawasan sekeliling.

Disebabkan imej 3D yang mana guru boleh menggerakkan kursor untuk melihat dari semua sudut, ia menjadikan pembelajaran sangat menyeronokkan.

Maklumat penulis

Saibahtul Islamiah Rosly

Merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Selangor

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp