Atitih melambaikan tangan kepada orang ramai selepas diumumkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025 di Hongkod Koisaan Penampang pada Sabtu.
Atitih melambaikan tangan kepada orang ramai selepas diumumkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025 di Hongkod Koisaan Penampang pada Sabtu.

Bakal guru Bahasa Melayu dinobat Unduk Ngadau Kaamatan 2025

31 May 2025 11:49pm

Atitih Yatih Robert, bakal guru Bahasa Melayu, yang mewakili daerah kecil Tamparuli, Sabah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025 di hari kemuncak sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun pada Sabtu.

Graduan Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu berusia 26 tahun dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Disember tahun lepas dan sedang menunggu penempatan sebagai guru itu, menewaskan 51 peserta lain dalam pertandingan ratu cantik tradisi Sabah sempena musim menuai yang diadakan sejak 1960.

Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik yang menampilkan kebudayaan dan warisan pelbagai etnik di Sabah bagi memperingati pengorbanan legenda Huminodun demi kesejahteraan rakyatnya.

Ketika ditemui pemberita, Atitih Yatih berkata, beliau hanya menyasarkan menjadi tujuh peserta terbaik pada pertandingan itu dan sama sekali tidak menyangka akan diangkat sebagai pemenang.

"Sukar saya gambarkan kemenangan ini kerana saya belum dapat proses dalam fikiran saya ini, saya masih sangat terkejut...saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong terutama keluarga dan kawan-kawan yang sanggup datang dari jauh untuk sokong saya.

"Perancangan selepas ini bergantung di mana saya nanti...saya tunggu penempatan sekarang ini," katanya.

Beliau juga berharap kejayaan itu memberi insipirasi terutama kepada generasi muda untuk melestarikan budaya dan warisan Sabah.

Atitih Yatih menerima trofi, wang tunai RM15,000 dan pelbagai hadiah yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dengan disaksikan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag serta Pengerusi Bersama Unduk Ngadau Kaamatan iaitu Datuk Joanna Datuk Kitingan dan Dr Mary Gambidau.

Artikel Berkaitan:

Tempat kedua dimenangi Elka Alika Pijeh yang mewakili daerah Tambunan dan membawa pulang trofi, wang tunai RM12,000 serta hadiah iriangan.

Manakala Celarin Jenny, yang mewakili Kiulu, di tempat ketiga dan membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 serta hadiah iringan.

Terdahulu, Sambutan Pesta Kaamatan 2025 ditutup secara rasmi oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dengan acara ‘mengomot’ atau menuai padi dan pukulan gong sebanyak tujuh kali pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp