Cikgu dan pelajar stres? Cuba amal kaedah 10B, menjadi!

05 Nov 2024 08:20am

Setiap guru dan pelajar pasti akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan masing-masing.

Apabila masalah itu sukar diselesaikan, ia akan membuatkan mereka menjadi stres dan tertekan dengan diri sendiri.

Apa sebenarnya maksud stres? Adakah guru dan pelajar jelas dengan definisinya?

Memetik info dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), stres adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental kepada perubahan.

Ia merangkumi tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, kebimbangan, kemurungan dan hilang daya yang biasa berlaku apabila berlakunya perubahan pada tubuh badan atau fikiran sendiri.

Stres terjadi disebabkan beberapa perkara antaranya berpunca daripada diri sendiri (kecewa), keluarga (masalah rumah tangga, kewangan, anak), pekerjaan (tidak cemerlang dalam kerja, tidak naik pangkat, dibuang kerja), komuniti (bertengkar dengan jiran), kesesakan lalu lintas, persekitaran yang tidak selesa, tragedi dan sebagainya.

Terdapat pelbagai tip yang boleh guru dan pelajar lakukan dalam mengawal stres iaitu dengan cara mengamalkan kaedah 10B.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Kaedah 10B terdiri daripada bertenang, bernafas dengan dalam, berkata `relakslah’/ tak mengapa, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta berfikiran positif.

Mengulas lanjut mengenai isu stres, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rahayu Ahmad berkata, setiap orang akan dan pernah merasa stres kerana ini merupakan tindak balas normal manusia kepada permasalahan mereka.

Bagaimanapun katanya, stres yang berlebihan boleh membawa kepada kemurungan.

Apa pula yang dimaksudkan dengan kemurungan?

Dr Rahayu seperti yang dipetik menerusi portal tempatan menjelaskan, kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan mereka merasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

“Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa dan ia boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sejak kebelakangan ini, ramai masyarakat mengaku tertekan dengan kehidupan.

Namun begitu, kata Dr Rahayu, tidak semua yang tertekan itu mengalami kemurungan.

Akan tetapi, semua yang mengalami kemurungan pasti sedang mengalami tekanan atau stres yang dahsyat.

No Image Caption

Kesimpulannya, stres atau tekanan merupakan suatu bentuk tindak balas kepada aktiviti-aktiviti harian manusia.

Ia perlu dielakkan dan ditangani dengan kadar segera agar tidak mengheret seseorang individu ke arah kemurungan.

Dalam pada itu, Sinar Bestari menitipkan sedikit nasihat kepada guru dan pelajar serta orang ramai yang merasa stres dan mengalami kecelaruan pemikiran agar membaca potongan ayat suci al-Quran yang mana hanya kepada ALLAH SWT sahajalah kita serahkan urusan dan kepada Dia jugalah tempat kita bergantung dan berharap.

ALLAH berfirman dalam Surah Ali Imran (73) maksudnya: “Cukuplah ALLAH untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)."

Akhir sekali kepada guru dan pelajar, usahakanlah mencari jalan penyelesaian dalam menangani stres mahupun tekanan yang dihadapi.

Sebagai manusia biasa, kita sememangnya memerlukan masa untuk berundur daripada segala tekanan dan merehatkan diri.

Jika tidak miliki semua ini, maka kita akan burn out (keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan). Percayalah!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp