Fred Gugau menamatkan kariernya dalam dunia pendidikan sebagai guru besar.
Fred Gugau menamatkan kariernya dalam dunia pendidikan sebagai guru besar.

Guru besar 'cangkul' tanah pergi ke sekolah

24 May 2024 01:02pm

Berdepan masalah infrastruktur seperti akses jalan raya terhad dan tiada bekalan elektrik, tidak pernah mematahkan semangat lelaki ini untuk terus berkhidmat sebagai seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kapulu, Sabah.

Fred Gugau Ridwon, 60, yang berkhidmat sebagai guru di pedalaman selama 35 tahun baru saja menamatkan perkhidmatannya yang terakhir di sekolah itu, membawa pelbagai kenangan manis dan pahit yang dilaluinya.

Menurut Fred, dia berkhidmat di SK Kapulu selama 13 tahun dan sebelum itu mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong di sini, dengan menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

"Saya ditawarkan ke SK Kapulu dengan jawatan sebagai guru besar susulan ada pertukaran jawatan di sekolah itu.

"Disebabkan saya mengenali penduduk di kampung itu dengan baik, saya terima tawaran dan tahun 2011 saya mula bertugas di SK Kapulu," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya cabaran beliau mengajar di sekolah itu, Fred memaklumkan bahawa SK Kapulu terletak lebih 50 kilometer dari Pekan Tenom namun keadaannya jauh berbeza dengan di kawasan pekan atau bandar.

"Jalan menuju ke Kampung Kapulu ketika itu masih dalam keadaan teruk, tidak nampak seperti jalan raya dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda.

"Perjalanan saya biasanya dari pagi hanya akan tiba di kampung itu pada sebelah malam kerana kerap berhenti akibat tayar terbenam dalam lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Di tengah jalan ada 'parit' dengan kedalaman paras lutut, sepanjang perjalanan juga tayar akan tersangkut dan saya terpaksa 'mencangkul' tanah untuk keluarkan tayar yang terbenam dalam lumpur," katanya.

Fred Gugau diraikan dalam majlis persaraannya di SK Kapulu, Sabah.
Fred Gugau diraikan dalam majlis persaraannya di SK Kapulu, Sabah.

Lampu suluh air

Jelas beliau lagi, bekalan elektrik di kampung itu juga tidak ada dan di sekolah hanya dibekalkan tenaga solar.

"Disebabkan ketika itu rumah guru belum disediakan, saya menyewa rumah penduduk dengan kadar RM200 dan terpaksa bergantung dengan lampu suluh kerana tenaga solar yang ada di sekolah tidak dapat sampai ke rumah sewa.

"Ketika itu pula popular penggunaan lampu suluh yang boleh dicas semula jadi, saya gunakan kaedah suluh pada berisi air supaya cahaya dapat memancar menerangi keseluruhan rumah.

"Rumah sewa itu hanya didiami kira-kira tiga tahun selepas rumah guru yang dibina akhirnya siap pada tahun 2015," katanya.

Katanya lagi, dia tidak menyangka dapat bertahan dengan persekitaran itu, selain dapat mengubah pemikiran ibu bapa sebelum menamatkan perkhidmatannya pada awal Mei ini.

"Banyak perubahan telah dilakukan terutama pemikiran penduduk kampung mengenai pendidikan, tahap pendedahan mengenai pendidikan sangat rendah.

"Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) dan hanya kira-kira 30 murid saja dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam tetapi dengan keadaan kurang murid, ada juga yang tidak meneruskan persekolahan ke peringkat menengah dan lebih seronok berada di hutan.

"Tetapi selepas saya berbincang seorang Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan, dia menawarkan diri untuk memberikan motivasi kepada ibu bapa mengenai kesedaran pentingnya pendidikan.

"Kemudian dari situ kami melaksanakan program bersama ibu bapa dan guru-guru saya pun suka bergaul dengan mereka. Selepas sudah rapat, ibu bapa mula menunjukkan perubahan dan memastikan anak-anak mereka mempunyai pendidikan.

"Kini saya bersara dengan rasa senang hati kerana meninggalkan sekolah ketika ibu bapa dan penduduk kampung sedar bahawa pendidikan amat penting untuk anak-anak mereka," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp