Maklum balas yang dimuatnaik seorang guru yang mencari muridnya iaitu Encik Taufiq. (Sumber: Facebook Diari Mak Mak)
Maklum balas yang dimuatnaik seorang guru yang mencari muridnya iaitu Encik Taufiq. (Sumber: Facebook Diari Mak Mak)

Guru cari bekas murid. Siapa Encik Taufiq dari SK Rembau?

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
14 May 2025 02:12pm

Dalam dunia pendidikan, hubungan antara guru dan murid sering kali meninggalkan kenangan manis yang kekal sepanjang hayat. Begitulah yang tersirat dalam sebuah hantaran Facebook yang tular baru-baru ini, apabila seorang guru meluahkan hasrat untuk bertemu kembali dengan bekas muridnya yang dikenali sebagai Encik Taufiq, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Rembau.

Hantaran yang dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook itu, mendapat perhatian ramai apabila ia memaparkan harapan tulus seorang guru yang masih menyimpan ingatan terhadap anak didiknya, meskipun telah bertahun-tahun masa berlalu.

Walaupun maklumat yang dimiliki amat terhad hanya nama dan sekolah, namun ia tidak mematahkan semangat guru ini untuk menjejaki murid yang pernah mendapat tempat istimewa di hatinya.

Apa yang lebih menarik, usaha itu turut mendapat perhatian daripada warga maya. Ramai yang berkongsi hantaran itu, malah ada yang cuba membantu dengan menyelusuri ruang komen dan mengaitkannya dengan video yang dimuatnaik oleh pengguna TikTok @nurul_aziylah.

Rangkaian kerjasama atas talian ini memperlihatkan betapa kuatnya ikatan komuniti apabila ia melibatkan kisah pendidikan dan kenangan masa lalu.

Bagi ramai guru, setiap murid yang diajar adalah ibarat anak sendiri apabila dibimbing dengan penuh kasih sayang, ditegur demi kebaikan dan diraikan apabila berjaya. Tidak hairanlah ada dalam kalangan pendidik yang masih mengingati murid-murid mereka walaupun selepas bertahun-tahun berpisah.

Kisah pencarian Encik Taufiq ini bukan sekadar mencuit emosi, malah menjadi simbol kepada nilai murni dalam dunia pendidikan diiringi penghargaan, ingatan dan harapan untuk pertemuan semula. Ia juga membuka mata masyarakat bahawa hubungan guru dan murid adalah satu bentuk ikatan jiwa yang tidak mudah terpadam.

Sinar Bestari ingin membantu menyebarkan usaha ini. Jika anda mengenali individu bernama Taufiq yang pernah belajar di SK Rembau atau anda sendiri ialah orang yang dimaksudkan, tampil memberikan maklum balas. Mungkin inilah masanya untuk menyambung kembali tali yang pernah terputus.

Artikel Berkaitan:

Sinar Bestari juga cukup berharap Encik Taufiq kini berjaya dalam kerjaya dan kehidupan yang dilaluinya dan guru yang merinduinya terus hidup dalam kesejahteraan dan kebahagiaan.

Kepada para guru di luar sana, ketahuilah bahawa ingatan dan kasih sayang anda terhadap murid-murid tidak pernah sia-sia. Buat para pelajar pula hargailah setiap insan bergelar guru kerana mereka adalah cahaya yang menerangi jalan kehidupan kita sejak kecil.

Moga pencarian ini menemukan jawapan yang membahagiakan kedua-dua insan ini!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp