No Image Caption

Guru KARISMA sedia gempur kurikulum 2027!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
30 May 2025 07:30pm

Kurikulum 2027 bakal tiba dan para guru kini bersiap siaga bukan saja dengan buku teks dan rancangan pengajian harian (RPH) tetapi dengan emosi yang lebih mantap serta empati yang lebih tajam dan hati yang lebih terbuka!

Inilah misi Program Guru KARISMA (Karakter Inspirasi Masyarakat) iaitu satu program latihan istimewa selama setahun yang membantu guru membina Kecerdasan Emosi, Pembelajaran Sosial dan Emosi (SEL) dalam diri mereka.

Seramai 70 guru dari seluruh Malaysia telah berjaya tamatkan latihan ini yang dikendalikan oleh Arus Academy dengan sokongan penuh Yayasan Hasanah iaitu yayasan di bawah Khazanah Nasional dan Kementerian Kewangan Malaysia.

No Image Caption

Apabila guru belajar urus emosi

Dalam dunia pendidikan hari ini, guru bukan lagi penyampai ilmu semata-mata. Mereka adalah pendengar, pembimbing dansuri teladan kepada murid yang datang dengan pelbagai cabaran emosi serta sosial.

“Kurikulum 2027 menuntut guru yang boleh membina suasana pembelajaran yang berempati, bermakna dan menyentuh hati murid,” jelas pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir.

Artikel Berkaitan:

Melalui Program KARISMA, guru bukan sahaja belajar teori tetapi terlibat secara aktif dalam bengkel, latihan dan projek penyelidikan tentang bagaimana nak gabungkan SEL dalam pengajaran harian tanpa menambah beban kerja!

Sementara itu, Sidang Guru Kemuncak KARISMA 2025 yang diadakan baru-baru ini, menghimpunkan lebih 300 orang pendidik dari seluruh negara.

Pelbagai aktiviti menarik mengisi program itu seperti bengkel dan kelas induk SEL bersama pakar antarabangsa, pameran lebih 125 aktiviti bilik darjah, 70 projek penyelidikan tindakan oleh guru sendiri, sesi panel bersama pakar pendidikan, korporat serta NGO.

Antara yang mencuri perhatian ialah pakar SEL dari Amerika Syarikat (AS), Keeth Matheny yang mengendalikan sesi interaktif tentang kesejahteraan guru dan pendekatan bersepadu dalam bilik darjah.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, Program KARISMA selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4.7) yang menekankan pendidikan berasaskan nilai, kemanusiaan serta kewarganegaraan global.

“Kami melabur dalam guru kerana mereka adalah agen perubahan sebenar dalam sistem pendidikan. Apabila guru dibekalkan kemahiran yang betul, anak-anak kita akan berkembang dalam suasana yang lebih sihat, positif dan penyayang,” katanya.

Kami lebih bersedia: Guru

“Program ini ubah cara saya melihat diri sebagai pendidik. Saya lebih tenang, tahu cara urus emosi sendiri dan lebih faham murid saya.” - Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kiaramas, Sarinah Suratman

“Murid zaman sekarang ramai yang hadapi tekanan emosi dan sosial. KARISMA bantu saya hadapi semua itu dengan cara yang lebih praktikal dan berkesan.” - Guru SJKC Sam Yoke, Christina Pang

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp