Hanya berbekalkan papan putih lusuh dan telefon, gadis ini gigih mengajar subjek Sejarah
Setiap Jumaat dan Sabtu, K Mahaletchmi, 20, akan duduk di ruang parkir rumahnya di Taman Perwira, Muar, Johor bagi membuka kelas tuisyen sama ada secara fizikal atau dalam talian kepada pelajarnya.
Berbekalkan papan putih lusuh dan telefon pintar lama, sudah cukup untuk gadis ini menggunakan Google Meet atau secara bersemuka mengajar subjek sejarah termasuk Sejarah Islam kepada anak muridnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Walaupun tanpa peralatan canggih dengan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan semenjak kematian bapanya beberapa tahun lalu, tidak menghalang Mahaletchmi menawarkan khidmat itu pada kadar rendah hanya RM20 sebulan.
Adakalanya, dengan kuota internet terhad yang membataskannya bersiaran lama, dia akan menggunakan kaedah seperti perkongsian nota menggunakan perisian Microsoft Office selain merakam suara menerangkan sesuatu topik sebelum dihantar ke kumpulan WhatsApp.
Mahaletchmi yang menetap bersama ibu, nenek dan tiga adiknya mengakui terdorong untuk mengajar Sejarah susulan minatnya yang mendalam terhadap subjek itu terutama Sejarah Islam.
Dia yang memperoleh A bagi mata pelajaran itu pada STPM lalu memutuskan untuk memberi khidmat tuisyen dua kali seminggu.
“Pelajar saya sekarang seramai lapan orang yang akan menduduki STPM... Melayu, Cina, India semua ada. Ada yang kadang-kadang tak mampu bayar jadi saya cakap pada mereka bayar RM20 pun tak apa sebab ada masanya saya perlu sediakan nota dan fotokopi atau hantar ke rumah mereka, jadi ia memakan belanja.
“Memang tak ada untung sangat pun. Saya lebih kepada ingin berkongsi ilmu dan duit yang dapat sikit-sikit boleh digunakan untuk persediaan masuk universiti,” katanya yang akan melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan di Universiti Utara Malaysia (UUM), bulan ini.
Mengagumi ketokohan Nabi Muhammad SAW dan ahli pelayaran Arab terkemuka Ibnu Majid, Mahaletchmi bercita-cita menjadi guru Sejarah kerana baginya, sejarah amat penting sebagai iktibar dan panduan khususnya dalam memajukan negara.
Ibu Mahaletchmi, V Devani, 55, yang kini bekerja sambilan di sebuah kilang berdekatan berkata hidup mereka sekeluarga agar sukar selepas suaminya menjadi orang kurang upaya (OKU) selama sembilan tahun selepas mengalami kemalangan di tempat kerja sebelum meninggal dunia pada 2019.
“Saya bangga melihat kesungguhan Mahaletchmi namun ada waktunya sedih melihat dia membuat kerja dalam keadaan kelengkapan serba kekurangan.
“Saya sangat berharap dia berjaya menjadi seorang guru Sejarah yang hebat satu hari nanti,” katanya. - BERNAMA